Kawan-Kawan Si Kacak

klik sini

Thursday, August 19, 2010

Cerpen: Memori Terhenti

Assalamulaikum..

*************************************

Wajah Farhana Pucat. Lebih pucat dari dulu lagi namun senyuman masih terukir dibibirnya. Ikhwan memandang gadis tersebut lalu menghadiahkan sebuah senyuman.

“Wan rasa Ana akan mati tak?” tanya Farhana lembut tapi jelas kedengaran sendu dalam bicaranya.

“Semua orang akan mati Ana. Wan juga akan mati, mungkin hari ini, esok atau lusa! Kita sendiri takkan tahu sebab ajal maut itu rahsia Allah.” Ujar Ikhwan cuba membina keyakinan pada gadis tersebut.

“Betul tapi Ana dah tahu yang Ana akan mati dan yang lebih menyakitkan, segala kenangan yang Ana perolehi akan hilang sedikit demi sedikit dan Wan.... “ Farhana menangis. Air matanya tidak dapat ditahan lagi.

“.. dan mungkin Ana akan lupa siapa Wan dihati Ana nanti!” badannya terhenjut-henjut kerana menahan tangisan. Sapu tangan yang dihulur Ikhwan diambilnya lalu dikesat air mata yang masih belum mahu berhenti.

“Kenapa Ana jadi selemah ini? Wan tak kisah jika suatu hari nanti Ana akan lupakan Wan sebab bagi Wan cukuplah kalau Wan tahu yang Ana cintakan Wan. Itu sudah cukup memadai dan Wan takkan minta lebih.” Hatinya terasa sebak. Namun dia cuba menahannya hanya kerana ingin menunjukkan dia kuat didepan bakal isterinya itu.

“Wan, masih nak ambil Ana jadi isteri?” tanya Farhana tiba-tiba.

“Berapa kali...”

“Tolong jawab sejujurnya Wan!”

“Ana, tak kira Ana berada dalam kondisi apapun, Wan tetap akan jadikan Ana sebagai isteri Wan yang sah. Wan janji!” ujar Ikhwan bersemangat. Walaupun beribu kali soalan ini diajukan padanya, jawapan yang diberi tetap sama.

Ikhwan dan Farhana akhirnya menjadi pasangan suami isteri yang sah walaupun ramai pihak yang tidak yakin dengan keputusan mereka. Bagi Ikhwan, cintanya hanya kepada Farhana. Gadis yang sentiasa berada ketika susah dan senang. Sebelum ini, Farhana pernah jatuh cinta dengan seorang senior disekolah mereka tetapi putus di tengah jalan. Ikhwanlah sentiasa memberi semangat kepada Farhana untuk terus maju kehadapan. Apabila Ikhwan pula yang mengalami kekecewaan, Farhana sentiasa memberi semangat dan rangsangan. Akhirnya, mereka berdua pula saling jatuh cinta. Hubungan mereka berjalan dengan lancar sehingga mereka disatukan dengan ikatan pertunangan.

Namun langit tidak selalunya cerah, adakalanya ia akan menjadi mendung dan mungkin juga akan mencurahkan hujan yang lebat ke atas bumi. Dua bulan yang lalu, Farhana disahkan menghidapi penyakit Alzheimer. Alzheimer merupakan sejenis penyakit berkaitan otak yang akan menyerang otak terlebih dahulu sebelum fizikal. Penghidap penyakit ini akan kehilangan memorinya sedikit demi sedikit. Kondisi Ana juga amat membimbangkan sekarang.

Setelah berkahwin, Ana akan terlupa yang dia sedang memasak. Kadang-kadang dia akan terkencing tanpa disedari. Namun yang lebih menyakitkan, kadang-kadang Ana akan lupa siapa Ikhwan dalam hidupnya.

“Cantiknya replika rumah ni?” ujar Farhana dengan mata yang bersinar-sinar.

“Ana suka?” tanya Ikhwan sambil memandang wajah isterinya yang kelihatan pucat itu.

Farhana menganggukkan kepala sambil mengukir senyuman.

“Nanti abang buatkan satu untuk Ana.” Janji Ikhwan.

“Betul ke?”

“Betul, pernah abang tipu Ana?” Ikhwan mengusap rambut isterinya dan menghadiahkan sebuah kucupan didahi isterinya mesra. Farhana menutup matanya merasai kehangatan kucupan itu.

“Abang pergi dulu.” Ikhwan sudah membuka pintu rumah, tiba-tiba Ana memanggilnya.

“Terima kasih Abang Is, Ana cintakan Abang.” Ujar Ana tulus tanpa menyedari dia telah melakukan satu kesilapan yang mengguriskan sekeping hati.

Ikhwan terpana tapi dia cepat-cepat menganggukkan kepalanya dan membalas kembali ucapan isterinya. “Abang juga cintakan Ana!”

Sudah setengah jam dia berada didalam bilik Dr. Hairi namun masih belum kedengaran sepatah katapun yang keluar dari mulutnya.

“Sakit bukan?” akhirnya Dr. Hairi memecahkan kedinginan yang dicipta mereka.

Ihwan hanya mampu mengangguk. Peristiwa pagi tadi masih lagi bermain difikirannya. Ingin sekali dia menjerit bahawa dia bukan Isman tapi Ikhwan.

“Saya sudah beritahu kamu yang bukan sahaja isteri kamu yang perlu menyediakan mental dan fizikal tapi kamu juga perlu lebih kuat menempuh semua ini.” Tambah Dr. Hairi.

“Kadang-kadang saya rasa saya tak mampu. Setiap kali bila penyakit tu menyerang dia, saya bagaikan orang asing. Masih belum ada penawar ke bagi penyakit ini doktor?” Ikhwan mahukan kepastian. Dia bagaikan tidak sanggup lagi melihat isterinya seperti orang kebingungan.

Dr. Hairi hanya menggelengkan kepala. “Ubat yang saya bagi hanya mampu melambatkan masa, tapi penawar yang sebenarnya masih belum kami temui. Apa yang mampu saya sarankan, kamu banyakkanlah berdoa dan bersabar. Hanya Dia yang mampu menyelesaikan semua masalah kamu!” ujar Dr Hairi sambil menepuk bahu Ikhwan. Ikhwan hanya mampu tersenyum pahit.

Ikhwan menghempaskan tubuhnya ke atas sofa. Terasa begitu penat tubuhnya yang terpaksa melayani seorang demi seorang pelanggan. Namun dia tidak boleh mengeluh kerana ini adalah tugas dan tanggungjawabnya sebagai seorang arkitek.

Tiba-tiba Farhana datang menghampirinya dengan wajah yang sukar ditafsirkan. Ikhwan menghadiahkan sebuah senyuman kepada isterinya.

“Abang, Ana minta maaf. Ana sudah sakitkan hati abang!” ujar Farhana sambil memegang tangan suaminya. Terasa sejuk dan terketar-ketar tangan Farhana yang begitu ikhlas memohon kemaafan.

“Kenapa ni Ana? Apa yang Ana sudah buat? Oh, Ana pecahkan pasu kesayangan abang tu yerk?” tanya Ikhwan yang kehairanan. Isterinya cuma menggeleng.

“Bukan? Habis tu? Oh, ataupun Ana sudah hilangkan cincin perkahwinan kita yerk?” Ikhwan masih berteka-teki. Namun reaksi yang ditunjukkan isterinya menghampakan. Diam seribu bahasa.

“Tentang pagi tadi. Ana minta maaf sebab buat abang terluka. Maafkan Ana, Ana tak patut sebut nama Abang Is!” akhirnya yang terlerai jua apa yang terbuku dihati Farhana. Dia tersedar bahawa dia sudah menyakiti hati suaminya setelah mengucapkan kata cinta pada insan lain.

Ikhwan meletakkan jari telunjuknya kebibir isterinya sambil menggelengkan kepala.

“Abang ingatkan apa, rupanya hal sekecil itu saja. Ana, abang pernah cakapkan yang abang tak kisah sebab walaupun mulut melontarkan kata tapi tidak semestinya hati juga ingin membicarakan perkataan yang sama bukan. Abang tahu yang Ana cintakan abang sebab itu abang pilih Ana jadi isteri abang. Sudah, jangan menangis.” Ikhwan mengesat air mata isterinya dengan jari. Farhana akhirnya tersenyum walaupun air matanya masih belum mahu berhenti.

“Ana, abang laparlah!” ujar Ikhwan sambil menggosok-gosok perutnya yang rata itu. Farhana tersenyum lalu menarik tangan suaminya menuju ke meja makan.

Usai solat Isya’ berjemaah dengan isterinya, Ikhwan terus mengambil ubat untuk diberikan kepada isterinya. Farhana tersenyum sendirian melihat keprihatinan suaminya itu. Sesungguhnya dia berasa bertuah memiliki suami seperti Ikhwan. Namun dia khuatir Cuma dia sahaja yang berasa bahagia, bagaimana pula dengan suaminya? Adakah suaminya juga bahagia menanggung beban dengan mengurus isteri sepertinya? Farhana berteka-teki.

“Hey, isteri abang mengelamun apa ni? Tak nak kongsi ke?” ujar Ikhwan yang sedari tadi melihat isterinya termenung seperti mengalami masalah.

“Hah? Tak ada apa-apa. Cuma...” kata-kata Farhana terhenti.

“Cuma? Cuma apa sayang?” Tanya Ikhwan sambil mengelus-elus rambut isterinya yang lembut itu.

“Abang, abang bahagia tak hidup dengan Ana?” tanya Farhana memandang tepat kearah bola mata suaminya berwarna coklat cair itu.

Suaminya tidak bersuara hanya menganggukkan kepala lalu menghadiahkan sebuah senyuman yang cukup indah.

“Ana, dengar kata abang ni. Ana jangan pernah ragukan cinta abang. Abang cintakan Ana kerana Allah. Ana kena ingat itu.” Ikhwan memeluk tubuh isterinya sudah mula mahu menangis.

“Terima kasih abang!” ujar Farhana bahagia.

“Esok nisfu sya’aban, kita puasa sama-sama .” Farhana mengajak suaminya bersama-sama menunaikan puasa sunat. Suaminya mengangguk tanda setuju. Satu kucupan mesra singgah didahi isterinya.

Jam sudah menunjukkan pukul 3 petang. Ikhwan terpaksa pulang lewat kerumah kerana terlalu ramai pelanggan yang ingin bertemu dengannya. Lagipun hari ini dia berpuasa, tak perlulah dia balik makan tengahari bersama isterinya. Kereta diparkir didepan rumah, ikhwan melihat isterinya berada dibuaian dengan muka yang sedih.

“Assalamualaikum. Ada orang tak kat rumah ni?” Ikhwan cuba mengusik namun ternyata usikannya itu membawa kehampaan.

“Waalaikumussalam, kenapa abang balik lambat?” tanya Farhana mendatar.

“Oh, sebab itu Ana monyok yerk. Hari ini client ramai sangat nak jumpa suami Ana yang kacak ni,” Ikhwan menghampiri isterinya lalu dipeluk bahu isterinya dan mereka bersama-sama masuk kedalam rumah.

“Bau apa yang sedap sangat ni?” tanya Ikhwan hairan.

“Bau makanan tengahari kitalah. Abang balik lambat sangat sampai sejuk semua lauk.” Bebel Ana kepada suaminya sambil menghidangkan kembali makanan ke atas meja.

“Ana, bukan ke kita puasa hari ini?” tanya Ikhwan teragak-agak.

Mangkuk ditangan Farhana terlepas. Prang! Pecah berderai mangkuk tersebut di atas lantai. Farhana terasa lemah lalu jatuh melutut. Ikhwan mendapatkan isterinya.

“Abang maafkan Ana, Ana lupa!” Farhana menangis. Begitu mudah air matanya mengalir keluar.

“Tak apa Ana, abang faham. Ana masuk bilik dulu, biar abang yang kemaskan semua ini!” Ikhwan memimpin tangan Isterinya menuju kebilik. Farhana merebahkan dirinya ke atas katil.

Selesai mengemas semuanya, Ikhwan ingin bersiap-siap menunaikan solat Asar. Dia masuk kedalam bilik dan terlihat isterinya masih duduk di atas katil. Dia menghampiri isterinya. Namun, kakinya terasa basah, air kencing Farhana sudah membasahi lantai bilik.

“Ana nak buang air ke?” tanya Ikhwan.

Farhana hanya mengangguk-anggukkan kepala. Dia sepeti kebingungan.

“Tak apa, biar abang papah kebilik air yerk.” Ikhwan memapah isterinya ke bilik air dan lantas memandikan isterinya yang sudah berbau hancing itu. Air kencing di atas lantai juga dibersihkan.

Badan Ikhwan terasa begitu penat kerana dia masih belum mendapatkan rehat selepas pulang dari kerja. Dia mencari bayang isterinya yang tiba-tiba hilang. Tiba-tiba bau hangit menusuk kerongga hidungnya. Ikhwan pantas menuju kearah dapur.

Kelihatan asap sudah mula memenuhi ruang dapur. Ikhwan terlihat kelibat seseorang di dapur dan dia pasti itu isterinya. Pantas dia mendapatkan isterinya yang masih belum mahu beredar dari situ.

Farhana batuk-batuk. Dia terlalu banyak menyedut asap. Wajah suaminya ditatap dalam-dalam. Jelas terpancar riak kerisauan yang amat. Dia jadi serba salah. Namun dia sendiri tidak mengingati apa yang berlaku. Cuma apa yang dia tahu sekarang, dapur rumahnya hampir terbakar dan itu merupakan perbuatannya.

Farhana meraih tangan suaminya. Sejuk.

“Abang marah Ana?” tanya Farhana perlahan tapi yakin.

Ikhwan memandang isterinya dengan penuh kerisauan namun akhirnya dia tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Maafkan Ana!” air matanya mula mengalir namun tanpa sendu.

Ikhwan memeluk isterinya. Kepala farhana dilekapkan ke dadanya. Setiap kali isterinya menangis, hatinya jadi gusar seperti dia yang telah membuat kesalahan besar sehinggan isterinya mahu mengalirkan air mata.

“Abang tak marah. Abang tahu Ana tak sengaja.” Pelukan Ikhwan makin erat. Sendu mula menyelubungi isterinya.

Tiba-tiba Farhana melepaskan diri dari pelukan. Dia memandang wajah Ikhwan dalam-dalam.

“Abang, lepaskan Ana!” satu permintaan yang bagaikan renjatan elektrik buat Ikhwan. Namun wajah Farhana begitu yakin.

“Ana, apa yang Ana merepek. Jom kita pergi rehat dalam bilik.” Ikhwan menarik tangan isterinya namun Farhana berkeras.

“Ana rasa ini yang terbaik. Sampai bila abang perlu terus terseksa sebab penyakit yang tiada ubat ni?” mata Farhana sudah bergenang air mata. Dia mungkin akan menangis lagi.

Ikhwan duduk di hadapan isterinya. Dia membelai-belai wajah isterinya.

“Cukuplah sampai hari ini Ana jadi beban untuk abang, Ana sudah tak sanggup lagi. Tolong lepaskan Ana, Ana merayu!” akhirnya air matanya tumpah untuk kali kedua. Tangan suaminya dicium beberapa kali meminta sedikit kekuatan.

Ikhwan mengangkat wajah isterinya yang sudah lencun dengan air mata. “Sejak bila Ana jadi beban untuk abang? Ana yang sentiasa memberi abang kebahagian setelah seluruh keluarga abang pergi tanpa pesanan. Ana nak ragut balik kebahagiaan yang Ana bagi, itu buruk siku namanya!” Ikhwan terasa mahu menangis tapi dia tidak akan sesekali menangis didepan isterinya. Dia mahu jadi lelaki yang kuat didepan isterinya. Cukuplah isterinya seorang yang mengalirkan air mata, senjata bagi wanita.

“Ini ke yang dinamakan kebahagiaan? Ini satu penyeksaan buat abang. Ana tak mahu abang susah lagi, cukuplah selama ini abang berkorban. Satu hari nanti kita juga akan berpisah. Ana akan mati!” suara anak sedikit kuat. Cukuplah dia melihat penderitaan suaminya. Dia sudah tak berguna lagi. Dia hanya menyusahkan hidup orang yang layak mendapatkan sebuah kebahagiaan dan pastinya dia bukan orang yang dapat memberi kebahagiaan kepada suaminya itu.

“Cukup! Abang tak nak dengar lagi. Abang dah kata banyak kali, ajal maut itu bukan ditangan kita. Selagi kita belum menghembuskan nafas terakhir, selagi itulah kita kena kuat untuk meneruskan kehidupan. Lelaki jenis apa abang ini yang sanggup melepaskan isterinya yang menderita dengan penyakit macam ini? Ana nak orang anggap abang ini lelaki yang tidak bertanggungjawab? Kalau Ana kata Ana menyusahkan Abang, Ana ingat Ana takkan menyusahkan Ayah. Ayah dah berumur, sepatutnya kita yang menjaga dia bukan dia yang menjaga kita. Ana sayang, dengar kata-kata abang ini. Abang yakin dengan takdir abang yang Ana diciptakan untuk abang. Apa yang penting sekarang, kita hendaklah saling membantu. Cukuplah yang abang dah ada Ana, jika sampai satu saat kalau abang sudah tak mampu, abang akan melepaskan Ana dengan cara yang paling baik sekali.” Ikhwan mencium isterinya dan pantas meninggalkan isterinya sendirian. Akhirnya air mata lelakinya gugur jua.

Peristiwa semalam bagaikan tidak berlaku antara mereka. Rutin hidup mereka diteruskan seperti biasa. Selesai makan tengahari, mereka berehat diruang tamu sambil menonton televisyen. Ikhwan menarik isterinya untuk duduk rapat bersamanya.

“Hari ini kita main satu permainan, nak tak?” tanya Ikhwan sambil melemparkan senyuman kepada isterinya.

“Apa dia?” Farhana ingin tahu.

“Permainan motivasi. Macam ni, Ana genggam kedua belah tangan Ana dan lihat ibu jari belah mana yang berada di atas?” farhana mengikut arahan suaminya.

“Ibu jari kiri.”

Ikhwan tersenyum. “Patutlah, Ana ni seorang yang berfikiran negatif.”

“Kenapa pula? Habis tu abang?” Farhana tidak puas hati.

“Abang ibu jari kanan, seorang yang berfikiran positif. Memang layaklah untuk abang.” Ujar Ikhwan sambil tersengih.

“Angkat bakul sendiri, boleh percaya ke ni?”

“Abang pun tak pasti, tapi pakar motivasi yang buat kajian. Satu lagi perkara yang mereka kaji, orang yang bongkok merupakan seorang yang gila seks. Jadi Ana kena jaga-jagalah nanti.” Sempat lagi Ikhwan berpesan dengan sungguh-sungguh.

“Yeke? Kalau macam tu, orang tua yang bongkok semua tu gila seks lah?” tanya Farhana selamba.

Ikhwan mencubit pipi isterinya yang cuba mempermainkannya. “Oh, nak main-mainkan abang yerk!”

“Mana ada, tapi bagi Ana fizikal seseorang takkan membuktikan dalaman seseorang. Semuanya berbalik kepada hati masing-masing. Dunia inikan bagai pentas lakonan dan kitalah pelakonnya.” Ujar Farhana sungguh-sungguh.

Ikhwan tersenyum sendirian mendengar celoteh isterinya. Dia bahagia.

Panggilan yang diterimanya sebentar tadi sungguh mengejutkan. Pantas dia meninggalkan pelanggannya yang terkebil-kebil sendirian. Pagi tadi, Farhana ingin sekali pergi kerumah ayahnya dan Ikhwan sendiri yang menghantar. Tapi baru sebentar tadi ayah menelefon yang Ana sudah dibawa ke hospital. Jantungnya berdegup kencang. Hatinya risau bukan kepalang. ‘Ya Allah, selamatkan isteriku.’

Sudah seminggu isterinya tidak sedarkan diri. Kata Doktor, Farhana sudah tiada harapan. Hanya doa saja yang mampu menyembuhkan isterinya. Setiap hari dia akan menunaikan solat hajat, memohon dari Allah agar memberi kesembuhan pada isterinya. Sekarang Farhana bergantung kepada mesin untuk bernafas.

“Wan, macam mana keadaan Ana?” ayah mertuanya baru sahaja sampai setelah sama-sama menjaga isterinya semalam.

“Masih macam tu, masih belum ada perkembangan ayah!” ujar Ikhwan lemah.

“Ayah, rasa sudah sampai masanya Wan lepaskan Ana!” Ikhwan terkejut mendengar bicara ayah mertuanya.

“Maksud ayah?” tanya Ikhwan.

“Maksud ayah bukan menceraikan Ana, tapi melepaskan Ana pergi. Sampai bila kita hendak mengharapkan mesin itu untuk terus melihat Ana bernafas. Kita seperti menyeksa dia, biarlah dia pergi dengan tenang. Ayah sudah tak sanggup lagi!” ayah mertuanya menangis dan itu kali kedua dia melihat lelaki tua itu menangis selepas majlis akad nikahnya dengan Farhana.

“Tapi Ikhwan tak sanggup ayah! Ikhwan sayangkan Ana!” rintih Ikhwan.

“Sayang bukan bermaksud kita perlu sentiasa bersamanya semasa hidup. Tapi sayang itu sentiasa dihati walaupun mereka telah pergi. Ayah rasa mungkin sudah masanya Ana pergi. Ayah sendiri pun tidak tegar kerana sejak dari Ana bayi lagi ayah menjaganya sendiri. Ibu Ana pun meninggal sebab penyakit yang sama. Lepaskanlah Ana!” ayah mertuanya menepuk bahunya dan meninggalkan menantunya bersama dengan anaknya untuk terakhir kali.

Ikhwan menatap wajah isterinya dalam-dalam supaya wajah itu tidak luput dalam ingatan. Rambut isterinya dielus-elus. Ikhwan mendekatkan mulutnya ke telinga isterinya.

“Abang harap Ana dapat dengar suara abang. Abang cintakan Ana kerana Allah dan abang lepaskan Ana sebab abang tahu Allah lebih menyayangi Ana lebih dari abang. Abang pernah kata yang abang akan lepaskan Ana apabila sampai satu saat abang sudah tidak mampu bersama Ana, pergilah sayang. Abang redha!” Ikhwan membisikkan dua kalimah syahadah ditelinga isterinya. Sebak hatinya dan terlalu perit untuk ditelan. Akhirnya kedengaran mesin berbunyi panjang menandakan Ana sudah tiada lagi.

Tiada air mata yang tumpah cuma kedengaran bacaan ayat suci al-Quran berkumandang didalam bilik pesakit yang bernama Farhana binta Roslan.

17 OGOS 2010

TAMAT...


8 comments:

nas said...

pergh..ko buat ke nie syah..
sori banyak2 syah coz xbace lagi sebab this week hingga rabu nie aku ader common test,so kne limitkan on9..huhu..later if i have time,i will read it ok..:P

echah mashuri said...

nice cerita..:)
syah!ko jd la penulis novel weh..
nnti kalo ade rejeki ko bnyk2 blnje la ak neh..heeee

Lelaki Ini said...

besh2!

HonEyBuNNy said...

layan baca cerpen jap..heheh

senandung semalam said...

sedeyh...
best kan weyh cte a moment to remember tue..?

NICK IRFAN said...

ko tulis cerpen plak ke syah??? wah!

mR.sYaH said...

kalau ada masa terluang je aku tulis nick..

heheh.. terima kaseh semua..

FaizalSulaiman said...

sedih la syah.permulaan yg sgt baik! teruskan ok!