Kawan-Kawan Si Kacak

klik sini

Thursday, May 20, 2010

Ceritera Terindah : Episod 2

Assalamualaikum..

Teruskan membaca sambungan cerpen bersiri aku..



Sudah seminggu dia berada di Sekolah Menengah Teknik Kuantan. Semua kerenah rakan-rakan sekelasnya telah diketahui. Izati, habis SPM dia terus mahu pergi ujibakat Akademi Fantasia. Mahu jadi artis katanya, cepat kaya dari sambung belajar. Fadhlan, ketua kelas yang baik dan lembut. Tidak pernah sekalipun dia marah apabila kelas bising malah dia kadang-kadang turut serta sekali. Apabila cikgu mampir kekelas pantas saja mulutnya memberitahu seisi kelas.

Aisha pula penolong kelas, suaranya kedengaran seperti itik kerana dia bercakap dengan slanga british. Kadang-kadang dia pernah terlepas kata pada wanita itu namun mujurlah kata-katanya tidak diendahkan. Umi kalthom pula merupakan penolong ketua pengawas sekolah, seorang yang lembut dan sopan. Jilbabnya labuh sampai ke paras dada. Sedap saja mata memandang. Nurul Huda, pengawas perpustakaan yang bersikap seperti keanak-anakan. Suaranya manja sekali dan murah dengan senyuman. Dia juga berjilbab labuh.

Asri si ulat buku di dalam kelasnya, nombor satu pasti menjadi tempatnya. Tiada siapa yang mampu memintasnya. Kalau ada pun Khairunnisa yang berada di tempat kedua pada peperiksaan tahun lepas. Irfan pula sehari tidak dengar dia bercerita tentang sukan tidak sah dengan Khairul yang menjadi pendengar setia. Tambahan pula dia merupakan kapten pasukan ragbi sekolah.

Isma sekarang sudah lega kerana dapat menyesuaikan dirinya dengan rakan sekelas yang lain. Walaupun mereka mempunyai karakter yang berbeza tapi mereka mempunyai sifat yang sama. Mereka kenal apa itu erti persahabatan. Namun disebalik senyum tawa, keletah dan kerenah yang bisa membuat guru-guru pening kepala, setiap mereka menyimpan masalah yang berbeza. Namun, Syahrafi adalah seorang perahsia tegar. Wajahnya yang sentiasa masam itu cukup mewujudkan suasana yang berbeza.

Guru-guru yang mengajar dikelasnya juga mempunyai pelbagai gaya dan ragam. Cikgu Azri, guru kelasnya itu tidak pernah mahal dengan senyuman. Setiap kerenah anak muridnya dilayan sebaiknya. Dia bagaikan seorang abang yang begitu menyayangi adik-adiknya. Cikgu Hajar pula seorang gadis sunti yang cantik paras rupanya seperti pelakon Lisa Surihani. Walaupun dia agak tegas dengan pelajarnya namun dia seorang yang begitu mengambil berat. Setiap hari kelasnya pasti diberi denda yang berbeza-beza. Cikgu Amirah atau lebih dikenali dengan nama Cikgu Monster pula seorang yang banyak membebel. Kelasnya menjadi kontroversi dibilik guru gara-gara mulutnya. Pasti ada yang tidak kena pada kelasnya setiap kali dia datang mengajar.

“Kamu main sukan apa, Isma?” tanya Cikgu Azri tiba-tiba.

“Hah, kenapa cikgu?”

“Rumah sukan kamu rumah merah, minggu depan Hari Sukan Sekolah akan diadakan. Kalau kamu boleh main apa-apa acara pada hari itu, kamu boleh bagitahu saya.”

“Saya tak main sukan cikgu.”

“Kamu tak suka bersukan?”

“Lutut saya sakit.”

“Oh, kalau macam tu boleh kamu buat sesuatu untuk acara perbarisan?”

“Buat apa?”

“Jadi maskod.”

Ikhwan ketawa terbahak-bahak bersama Amir. Langsung tidak berasa simpati padanya. Mana mungkin dia menolak permintaan guru kelasnya tapi dia tidak pernah buat perkara sebegitu. Pasti dia malu besar.

“Kau jadi maskot apa?” tanya Fadhlan yang turut berada dibelakang kelas.

“Aku jadi teletubies merah!”

“Teletubies? Hahahah..” ikhwan menguatkan lagi ketawanya. Mahu habis keluar ilmu kimia yang baru masuk dalam otaknya tadi.

“Kau jadi maskot kena tarik perhatian orang. Mana boleh jalan bodoh-bodoh macam tu. Kau kena imbas balik masa kau budak-budak dulu.” Ujar Amir pula.

“Nanti aku tolong dapatkan VCD teletubies untuk kau.” Tambah Fendy sambil membetulkan kaca matanya yang senget itu.

“Patutnya kau tolonglah aku merayu dengan Cikgu Azri supaya aku digugurkan menjadi maskot. Bukannya cakap perkara macam ni, bukannya membantu pun.” Marah Isma.

“Kau betul ke taknak jadi maskot?” tiba-tiba syahrafi bersuara.

Semua mata memandang lelaki itu. Dia memandang ke arah isma dengan wajah masamnya. Isma Cuma mengangguk.

“Aku akan cakap dengan Cikgu Azri.” Lelaki itu bangun dan terus beredar meninggalkan mereka.

Asyraf masuk kekelas dengan wajah yang sugul. Tiada lagi senyuman plastik yang terpamer dari bibirnya. Bagaikan ada sesuatu yang menyelubungi perasaan jejaka kulit sawa matang itu. Dia meletakkan kepalanya di atas meja. Terdengar keluhan kecil yang keluar dari mulutnya. Ikhwan menghampiri Asyraf.

“Kenapa ni Raf?” tanya Ikhwan.

“Kau ada masalah ke?” Amir pula menghampiri Asyraff. Isma sekadar memandang dari mejanya. Syahrafi pula sedari tadi meletakkan kepalanya diatas meja.

“Lisa. Dia marah aku. Dia merajuk,” luah Asyraf.

“Alah, menda itu saja. Aku ingat apa?” ujar Ikhwan lalu duduk ditempatnya.

“Kau buat apa sampai dia merajuk?” tanya Alif ingin tahu.

“Dia marah aku sentuh dia. Tadi aku cuba nak pegang tangan dia.” Cerita Asyraff sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Ada nada kesal dalam suaranya.

“Patutlah dia marah, kau nak buat dosa.” Ujar Ikhwan.

“Aku pernah dengar ustaz sekolah aku dulu ada cakap, kalau kita pegang perempuan yang bukan muhrim ibarat kita pegang babi.” Ujar Isma.

“Babi?” tanya Ikhwan.

“Babilah, kenapa?” tanya Isma hairan.

“Kau mencarutlah.”

“Apa pula? Dah memang nama binatang tu babi. Ustaz tu sebut relax saja sebut.” Isma mempertahankan hujahnya.

“Betul ke Isma?” tanya fendy.

“Betullah.”

“Patutlah orang cakap anak yang lahir luar nikah itu anak haram.”

“Kenapa pula fendy?” tanya Ikhwan hairan.

“Sebab diaorang main dengan babi. Patutlah banyak kes buang bayi sekarang. Hish, hish!” ujar Fendy selamba.

Mulut masing-masing terlopong mendengar hujah Fendy. Ada betulnya kata-kata Fendy itu tapi..

“Aku kata ibarat jelah!”

“Sudah, sudah! Berhentilah cakap tentang benda haram tu. Sekarang cuba tolong selesaikan masalah Raf tu. Kesian dia, muka macam tempoyak basi dah.” Ujar Amir tidak mahu kisah babi dipanjangkan.

“Alah, minta maaf jelah, kan senang. Kata saja kau tak boleh menahan nafsu yang bergelora didada. Gelora di hati Asyraf.” Ikhwan memberi cadangan.

“Banyaklah kau punya gelora! Aku tak sengaja peganglah. Aku tahulah halal haram ni.” Degus Asyraf.

“Kalau kau tahu, kau takkan berdua-duaan dengan dia. Mulut saja pandai cakap!” tiba-tiba Syahrafi bersuara. Kata-kata sinis itu berjaya menarik perhatian ramai. Asyraf bengang.

“Kau kenapa Syah? Apa yang tak puas hati?” bentak Asyraf. Mukanya kemerahan.

“Apa yang aku cakap betulkan. Berdua-duaan itu boleh membawa ke arah zina. Takkan kau tak tahu, syaitan suka orang macam kau tu. Baik macam mana pun kalau tak boleh nak kawal nafsu tu, berisi juga nanti!” syahrafi berkata langsung tidak bertapis. Isma jadi risau melihat tingkah dua orang rakannya itu. Namun dia tidak tahu macam mana nak selesaikan masalah ini.

“Wei, cikgu Amirah dah datang!” jerit Fadhlan. Fuh! Isma menarik nafas lega. Dia dapat lihat betapa marahnya Asyraf kepada Syahrafi. Dia pasti mencari jalan supaya perbalahan ini tidak berlanjutan.

Hari sukan sekolah telah menjelma. Isma resah gelisah. Jalannya mundar mandir. Acara perbarisan akan bermula sebentar lagi. Kostum yang telah dibuat Cikgu Azlina dipandang kosong. ‘Betul ke apa aku buat ni?’ dia bercakap sendirian.

“Hah, apa lagi kamu tunggu? Pakailah kostum itu!” ujar Cikgu Azlina. Isma mengangguk laju-laju.

“Kenapa ni? Malu?” entah dari mana Syahrafi tiba-tiba muncul.

“Malulah. Aku tak pernah buat benda-benda macam ni.” Isma meluahkan kebimbangannya.

“Aku dah cakap dengan Cikgu Azri tapi dia kata ini pengalaman untuk kau. Aku rasa ada betulnya kata-kata cikgu tu.” Isma tidak menyangka Syahrafi akan merayu untuknya. Dia hairan dengan sikap rakannya yang seorang ini.

“kau pakai topengkan. Orang takkan kenal kau. Lagipun sekurang-kurangnya kau berjasa untuk rumah sukan kau. Acara ni pun bagi markah juga.”

“tapi..”

“yang penting hati kau ikhlas nak buat semua ni. Kalau tak kau tak payah buat.” Ujar Syahrafi lalu meninggalkan Isma sendirian.

“Syah! Tunggu kejap!” Syahrafi berpaling.

“Janganlah bergaduh dengan Asyraf lagi. Pergilah minta maaf!” pinta Isma.

“Bila aku bergaduh dengan dia?” Syahrafi terus melangkah pergi.

“Ingat apa aku cakap? Kau jangan berjalan biasa-biasa saja. Buat macam teletubies dalam tv tu.” Ujar naim yang datang dari arah bengkel bersama Huda.

“Janganlah risau, sayakan ada.” Ujar Huda sambil tersenyum-senyum manja. Isma juga turut tersenyum.

Isma lega akhirnya semua berakhir dengan lancar. Dia sudah buat sehabis baik. Betul kata Cikgu Azri ini satu pengalaman yang mahal buatnya. Terbit juga perasaan seronok di dalam hatinya. Lagipun tiada siapa yang tahu dialah si teletubies merah itu kecuali rakan-rakan kelasnya.

“Comelkan teletubies tadikan. Siapa yang jadi teletubies tu?” kedengaran suara budak perempuan bersembang tentangnya. Dia tersenyum Cuma.

“Walaweh! Senyum sorang –sorang pula mamat tele... argh sakitlah!” isma pantas menumbuk bahu Ikhwan dari terlepas cakap.

“kau janganlah bising. Orang lain tak tahu, senyap-senyap jelah.” Marah Isma.

“Alah kau ni, semua orang dah tahulah. Fendy bagitahu dekat dia orang. Kau tahulah si lurus bendul tu.” Isma memicit kepala. Aduh, malu bukan kepalang rasanya dia.

“Kau tahu tak yang Asyraf bengang betul dengan Syah?” ujar Ikhwan tiba-tiba.

“Syah kata dia tak gaduh pun dengan Asyraf. Lagipun apa yang Syah cakap tu ada betulnya Cuma cara dia tu agak kasarlah bagi aku.” Kata Isma meluahkan pendapatnya.

“Aku pun. Wei, kau tahu tak yang aku tengok Nisa macam syok dekat engkaulah.”

“kau ni pehal cakap benda ni tiba-tiba. Tak payah nak temberanglah. Cukuplah sekali kau temberang dekat aku. Kononnya sekolah ni macam crows zero, budak Annaz tu punyalah baik kau boleh kata gangster, tahulah muka dia ada parut.” Marah Isma yang ditipu hidup-hidup sampai dibawa ke mimpi. Ikhwan tersengih menunjukkan barisan giginya yang tunggang langgang.

“Aku gurau jelah, tapi yang Nisa tu betul. Sejak kau masuk kelas kita, dia selalu senyum. Selama ni nak tengok dia senyum memang payahlah.” Ikhwan cuba mengaitkan dia dengan Khairunisa lagi.

“Yelah tu, kau dengan Syira pun sepadan aku tengok. Jomlah tengok acara 100 meter tu. Syah dengan Asyraf bertanding.” Mereka berjalan menuju ke balapan. Kelihatan semua peserta melakukan warming up terlebih dahulu. Irfan pula sedang menadah tangan membaca doa. Tahun lepas raja pecut sekolah menjadi miliknya, dia pasti mahu mengekalkan kejuaraannya.

Tembakan dilepaskan. Semua peserta berlari sepenuh tenaga. Tidak sampai sepuluh saat, semua peserta tiba digarisan pertama. Syahrafi menjadi juara diikuti Asyraff dan Irfan ditempat ketiga. Semua yang menang rakan sekelasnya. Isma tersenyum bangga. Dia dan Ikhwan kehabisan suara kerana bersorak terlalu kuat sehingga ada pelajar perempuan yang pergi menjauhi mereka. Ikhwan mengajaknya pergi berjumpa dengan rakan-rakannya untuk mengucapkan tahniah. Isma membuntuti Ikhwan.

Sampai saja disana dia melihat Syah dan Asyraf bergaduh. Mereka berdua bergelut di garisan penamat. Semua pelajar datang mengerumuni mereka. Semuanya bersorak nama mereka berdua. Ada yang menyokong Syahrafi dan ada yang menyokong Asyraf. Isma dan Ikhwan pantas cuba meleraikan mereka berdua. Isma memegang Syahrafi manakala Ikhwan memeluk Asyraf. Cikgu Amirah akhirnya muncul. Wajahnya tegang.

“Kamu berdua ni kenapa bergaduh?” tanya Cikgu Amirah lantang.

“Dia main tipu cikgu!” ujar Asyraf sambil menunjukkan jarinya ke arah Syahrafi. Namun Syahrafi hanya mendiamkan diri dan berlalu pergi. Dia malas mencampuri urusan bodoh seperti itu. Dia terus berjalan menuju ke hostel lelaki.

“Penyertaan kamu berdua dibatalkan. Irfan kamu ditempat pertama,” ujar Cikgu Amirah lalu pergi meninggalkan mereka. Irfan termanggu seketika. Patutkah dia bergembira atau berduka? Dia sendiri keliru.

“Hah, satu lagi kamu Asyraf jumpa saya hari isnin nanti dibilik disiplin. Ikhwan, kamu beritahu Syahrafi sekali.” Cikgu Monster meneruskan perjalannya ke meja urusetia.

“Habislah.” Ujar Ikhwan. Asyraf berlalu pergi ke arah rumah sukannya. Isma ternganga.

Syahrafi asyik menatap foto ditangannya. Foto yang bisa membuat hatinya sendu. Tatkala itu dia ingin sekali menangis. Menangisi segala yang berlaku padanya. Fotonya bersama abah, ibu dan abangnya. Hatinya dicengkam kuat. Dia Cuma dua beradik, namun sayangnya dibeza-beza. Kenapa cedik pandai menjadi simbolik sebuah kasih sayang. Dia sedar dia tidak sepandai abangnya yang kini sudah menyambung pelajaran di United Kingdom. Abah tidak pernah memberi kasih sayang padanya seperti abah mencurahkan kasih sayang pada abang. Tiada ucapan tahniah mahupun pelukan mesra setiap kali dia memenangi acara sukannya. Semua pialanya yang dimenanginya bagaikan tiada harga. Namu setiap kali abangnya memenangi pertandingan syarahan dan nasyid pasti ada kejutan yang abah berikan.

“Kenapa abah buat Syah macam ni?” ujarnya sendirian. Dia bagaikan ketandusan kasih sayang seorang abah. Ibulah menjadi tempat dia mengadu. Dia sedar akan kekurangannya dalam bidang akademik. Bermula dengan ujian penilaian menengah rendah, dia Cuma mendapat empat A sahaja dan gagal menempatkan diri di sekolah berasrama penuh. Sejak itu, sikap abah terhadapnya dingin. Abah malu katanya dengan percapaiannya yang teruk. Sedangkan abang mampu memperolehi lima A dan belajar di SBP.

Dia ingin menebus kegagalannya di peperiksaan menengah rendah. Namun usahanya bagaikan sia-sia. Dia Cuma mampu memperolehi empat A dan lima B. Dia gagal lagi untuk kali kedua. Abah langsung tidak mahu melihat slip peperiksaannyaa. Cuma ibu yang sentiasa memberi dorongan dan semangat untuknya. Sekali lagi dia gagal untuk ke SBP dan diterima masuk kesekolah teknik. Pemergiannya ke sekolah teknik tanpa ditemani abah. Dia sendiri gigih pergi mendaftar sendirian. Sehingga kini abah tidak pernah pun sekali datang ketempatnya. Mana mungkin ibu akan sampai kesini tanpa abah. Tanpa dia sedari air matanya yang tertahan akhirnya tumpah.

Isma tertinggal buku sejarahnya di bilik. Ikhwan memarahinya kerana kelalaian itu. Dia berlari pulang ke bilik untuk mengambil bukunya. Sampai dipintu bilik, dia melihat Syahrafi sendirian di bilik sambil menatap sekeping foto bersaiz 4R. Rakannya itu mengalirkan air mata. Dia terkesima.

Isma sampai ke perpustakaan dengan termengah-mengah. Bajuhnya basah dengan peluh tapi tidak lagi sebanyak dulu. Ikhwan melambai tangan ke arahnya.

“Penatlah aku, kaulah ni bukannya tak boleh kongsi buku tu.” Ujar Isma dengan suara yang kuat. Semua mata memandangnya. Bagaikan mahu tersembul biji mata masing-maing memandangnya. Ada yang siap meletakkan jari di mulut.

“Kuatlah suara kau, perlahanlah sikit. Kalau kongsi nanti lambatlah siap kerja kita. Takkan kau tak kenal Cikgu Monster tu, kalau dia nak esok, esoklah kalau tak mahu gempar lagi kelas kita dekat bilik guru. Kesian aku tengok Cikgu Azri terpaksa back up kita balik. Macamlah kita buat kesalahan besar, guna pensel tekan pun dia marah.” Luah Ikhwan tanpa disuruh. Isma sekadar mengangguk.

Kelihatan Huda sedang menjeling Isma dari arah kaunter. Perempuan itu melemparkan senyuman manja kearahnya. Isma membalas balik sekadar sahaja.

“Aku tengok ramai betullah perempuan kelas kita syok dekat engkau. Jealous aku!” ujar Isma tiba-tiba.

“Banyaklah engkau, Huda senyum jelah, takkan itu pun kau berkira. Kenapa? Kau suka huda yerk? Kau nak aku bagitahu dia?” isma cuba menjerat Ikhwan.

“Takde maknanya. Dahlah sambung kerja kita. Balik nanti singgah koperasi yerk.”

“Kenapa? Kau nak jumpa Afiqah pula? Kau ni mana satu hendak? Syira, huda , afiqah, hah siapa lagi?” masa Isma pula kenakan Ikhwan. Selama ini asyik dia saja yang kena.

“Banyaklah engkau. Sudahlah!” isma ketawa tanpa suara.

Selesai saja menyiapkan kerja mereka di perpustakaan. Mereka berjalan menuju ke koperasi sekolah. Tepat tekaan Isma, hari ini giliran Afiqah pula bertugas di koperasi. Isma menjungkit kening ke arah Ikhwan. Ikhwan memandang bodoh dan terus memasuki koperasi. Isma tidak berniat untuk masuk ke dalam koperasi, muak sudah perutnya asyik membaham choki-choki makanan kegemaran pelajar Sekolah Menengah Teknik Kuantan ini. Matanya melilau melihat sekeliling. Asrama perempuan betul-betul berhadapan dengan Koperasi. Di sebelah koperasi pula tersedianya beberapa buah meja bulat tempat untuk berehat. Dia terlihat susuk tubuh yang dikenalinya. Kelihata Asyraf seorang diri di salah sebuah meja bulat itu. Dia menghampiri rakannya itu.

“Assalamualaikum, buat apa dekat sini?” isma terus duduk tanpa dipelawa. Tempat public takkanlah hendak dijemput-jemput.

“Waalaikumussalam, aku tunggu orang.” Jawabnya ringkas.

“Lisa?” Asyraf mengangguk perlahan.

“Boleh aku cakap sikit tak Raf?” tanya Isma cuba berlapik.

“Apa dia? Kau ni tu pun nak minta kebenaran.”

“Mestilah. Aku rasa lebih baiklah kau jangan berdendam lagi dengan Syah. Aku rasa apa yang dia cakap tu betul Cuma cara dia nak tegur kau agak kasar tapi...”

“Kau pun nak bela dialah. Wei, dia kutuk aku tahu tak. Dia ingat dia bagus sangat?” muka Asyraf bertukar kemerahan.

“Relaxlah, janganlah marah. Aku Cuma nak bagitahu apa yang dia cakap betul. Cuba kau fikir betul-betul, kalau lelaki dengan perempuan berdua-duaan mesti akan berlaku sesuatu. Syaitan ada dekat mana-mana. Sebab itulah kau tengok sekarang kenapa asrama lelaki dengan perempuan dipisahkan? Kenapa tak buat sekali?” tanya Isma.

“kau ni Isma agak-agaklah. Mana boleh macam tu, banyaklah berlaku maksiat nanti. Haram!” ujar Asyraf.

“Tahu pun. Samalah dengan situasi kau sekarang.”

“Tapi aku tak berniat nak buat perkara macam tu dengan Lisa. Aku sayang dia.” Asyraf bersungguh.

“Kalau ustaz pun boleh rogol anak murid sendiri, apatah lagi kita yang tak tinggi ilmu agama ni. Kadang-kadang sebab sayanglah jadi macam ni.” Nasihat isma. Asyraf terdiam. Ada betulnya kata-kata temannya itu. Dia bukanlah alim sangat tentang ilmu agama ini. Solat lima waktu pun kadang-kadang tertinggal.

“Aku tak mahu kau menjadi salah seorang penyumbang kes buang bayi nanti!” tambah Isma lagi.

“Amboi, kasarnya bahasa!” ujar Asyraf sambil tersengih.

“Kalau tak kasar kau tak faham. Oklah, aku pergi dulu. Aku nak nasihat pula orang dalam koperasi tu pula, tak keluar-keluar lagi ni.”

“Siapa?”

“Ikhwanlah.” Asyraf dan Isma ketawa.

Asri selesai mengimamkan solat maghrib di surau sekolah. Semua pelajar lelaki dan perempuan diwajibkan solat maghrib berjemaah di Surau. Hari ini giliran Zaim pula untuk memberikan tazkirah maghrib. Sudah ditetapkan setiap malam seorang pelajar lelaki tingkatan lima diminta memberi tazkirah. Isma dan Ikhwan duduk berdekatan dinding bersebelahan dengan Syahrafi. Tiba-tiba kedengaran suara orang menjerit di bahagian pelajar wanita.

“Pergi! Diam! Bodoh! Berambus!” suara perempuan itu kedengaran nyaring dan agak kasar.

“Ada orang histeria itu. Syahir cepat pergi tengok!” ajak Rahman lalu mendekati bahagian wanita. Kelihatan wajah Umi kecemasan.

“Siapa?” tanya Rahman.

“Baizura!”

Rahman memandang syahir. Lelaki itu mengangguk.

“Isma dengan Ikhwan pergi panggil warden. Zaim pergi ambil air, yang lain baca surah yasin.” Arah Rahman.

Syahir mendekati Baizura. Mulutnya terkumat kamit membaca ayat suci al-Quran. Dia dapat melihat ada makhluk lain yang berada di badan wanita itu. Makhluk berbulu dan hodoh.

“Suruh Alif ambil lada hitam dekat dewan makan!” arah syahir lalu menyambung membaca ayat suci al-Quran.

Syahir mengambil air yang diberikan Zaim dan membaca sesuatu lalu dicurahkan ke tubuh Baizura.

Baizura menggelepar, mukanya kemerah-merahan. Dia menjerit-jerrit kesakitan.

“Jangan ganggu aku Bodoh!” jeritnya ke arah Syahir. Namun lelaki itu tenang sahaja. Dia sudah biasa dengan keadaan seperti ini. Kelebihannya yang dimilikinya ini digunakan sebaik mungkin.

Cikgu Azri yang baru sampai didepan rumahnya terkejut melihat Isma dan Ikhwan berlari kerahnya.

“Kenapa ni Isma, Ikhwan?” tanya Cikgu Azri.

“Ada pelajar perempuan histeria cikgu!” ujar Isma.

“Dalam surau!” tambah Ikhwan pula.

Mereka bertiga terus bergegas ke surau. Sampai saja di Surau, keadaan kembali pulih. Kelihatan Baizura berada dalam keadaan lemah. Cikgu Azri menghampiri Rahman.

“Betul ke ada pelajar perempuan histeria?” tanya Cikgu Azri.

“Betul cikgu. Ada ‘benda’ masuk dalam badan dia. Tapi Syahir dah selesaikan.” Cikgu Azri lega. Syahir mendekati Cikgu Azri.

“Baizura pergi ‘main’ tempat dia.” Ujar Syahir tanpa dipinta.

“Kena bawa pergi hospital ke?” tanya Cikgu Azri prihatin.

“Rasanya tak payahlah cikgu. Dia kena banyak berehat tu. Badan dia masih lemah lagi.” Jawab Syahir.

“Hmm.. kalau macam tu takpelah. Dah masuk waktu Isya’ tu. Ikhwan, kamu pergi azan dan kamu Isma jadi imam.” Kedua-dua manusia itu ternganga seluas-luasnya.

Asyraf dan Syahrafi masuk kedalam kelas dengan wajah yang sugul. Mereka baru sahaja berjumpa dengan pengetua berkenaan kes semasa hari sukan. Isma tertanya-tanya apalah tindakan yang diambil oleh tuan pengetua.

“Kau kena apa dengan pengetua?” tanya Ikhwan pada Asyraf.

“Aku kena brain wash lah dengan dia lepas tu kami kena denda.” Jawab Asyraf lemah.

“Denda apa?” Amir ketahuan.

“Cuci tandas hostel selama satu minggu.”

“Itu saja? Tak masuk rekod?” tanya Ikhwan lagi.

“Tak, tu yang cikgu Amirah tak puas hati tapi bukan dia pengetua sekolah ni.” Asyraf meletakkan kepala di atas meja. Malas mahu berbicara lagi. Seminggunya pasti menyesakkan. Isma melihat Syahrafi tenang seperti biasa, wajahnya juga masih masam seperti selalu. Isma hairan.

Ikhwan menghampiri Isma dan Syahrafi yang sedang asyik menulis di kertas mahjong. Esok mereka dikehendaki membuat presentation di dalam kelas.

“Isma, kau ada kertas mahjong lebih tak?” tanya Ikhwan cemas.

“Takdelah, aku pun cukup-cukup tiga helai saja. Kenapa kertas mahjong kau tak cukup?”

“Kertas mahjong aku hilang dua helai. Amir kata dia letak atas katil dia. Balik makan saja terus hilang.” Jelas Ikhwan.

“kau dah tanya dengan budak lain?” tanya Syahrafi.

“Sudah. Semua tiada. Aku rasa aku kena fly malam ni. Kau tahulah Cikgu Amirah tu, mahunya diheret aku jumpa pengetua nanti sebab tak buat kerja dia.”

“kalau ada sport check malam ni? Macam mana?” tanya Isma.

“Alah, pandai-pandai nanti kau suruh budak bilik aku back up nanti. Dah takde masa dahni. Aku pergi dululah. Nak tempah apa-apa?” tanya Ikhwan sebelum melangkah pergi. Kedua-duanya menggeleng. Ikhwan terus berlari meninggalkan mereka berdua. Isma dan Syahrafi menyambung kembali kerja mereka.

“Macam mana kerja cuci tandas? Best?” tanya Isma pada Syahrafi.

“Bestlah juga. Dapat buat amal.” Jawab Syahrafi selamba. Isma tersenyum mendengar jawapan Syahrafi. Tiba-tiba Amir datang dengan wajah yang cemas.

“Ikhwan mana?” tanyanya. Peluh mula merenek keluar.

“Dia dah keluar. Kenapa?” tanya Isma.

“Ada sport check mengejut sekarang. Cikgu Yusoff yang buat!” isma dan Syahrafi saling berpandangan. Debaran mula menerjah ke dada masing-masing.

“Ikhwan!” serentak nama rakannya disebut.

6 comments:

hans said...

betul2 panjang cerpen ko nih
hahaha
asal ada nama syahrafi?
ekekeke

mR.sYaH said...

biasalah gila glamour.. hahah..

hans said...

hahahah
tapi okay la citer dia
best gak

mR.sYaH said...

thanks2..

El-Zaffril said...

Wah... bile nak jadi novel

mR.sYaH said...

xtahu lglah bang.. hehe..