Kawan-Kawan Si Kacak

klik sini

Friday, May 14, 2010

Ceritera Terindah : Episod 1

Assalamualaikum..

Cuti semeste ni aku dah aim..
nak buat satu cerpen bersiri..
sekarang aku akan post episod pertama..
harap korang suka baca..



Peluh membasahi baju seragam putihnya itu. Sapu tangan dikeluarkan dari kocek lalu disapanya ke muka. Isma farhan terus mencari kelas yang bakal dihuninya. Sebentar tadi, ayah dan ibunya baru pulang. Sekolah menengah teknik kuantan ini adalah sekolah barunya sekarang. Dia datang tanpa kerelaan hatinya. Namun dia tidak mahu membantah kata-kata keluarganya. Nampaknya Maktab Rendah Sains Mara bukan tempat untuknya.

Bangunan yang dicat putih dan biru muda itu dipusing-pusingnya. Bajunya sudah separa basah dengan air peluh yang keluar dari rongga-rongga tubuhnya. Selalunya dia tidak pernah berpeluh sebanyak ini mungkin kerana perasaan gementar terus-terusan menyelubungi mindanya. Dia seorang yang payah untuk menyesuaikan diri ditempat baru. Sekolah lamanya telah dihuni selama setahun. Biarpun berasa bosan dan tidak suka pada sekolah tersebut tapi dia sudah sesuai disitu. Dapatkah dia menyesuaikan diri disekolah ini? Persoalan itulah terus menghuni didasar hatinya.

“Assalamualaikum, kamu ini pelajar baru ke?” tiba-tiba datang seorang lelaki berpakaian seragam sekolah warna kuning cair menegurnya.

“Waalaikumussalam, a’ah saya baru pindah kesini. Saya nak cari kelas, tapi dari tadi saya tak jumpa. Kenapa tak diletakkan nama pada kelas?”

“Cari kelas. Kelas mana?”

“Lima Kejuruteraan Awam 2.”

“Kelas tu dekat tingkat atas sekali, dua dari hujung.” Isma lega akhirnya kerana ada yang sudi membantunya.

“Saya Abdul Rahman, Ketua Pengawas sekolah ini. Selamat datang ke SMT Kuantan.” Rahman menghulurkan tangannya untuk berjabat. Isma menyambut tangan itu.

“Terima kasih KP.”

“KP? Panggil Rahman saja. Kamu hati-hati sikit dalam kelas itu, kelas tu ‘panas’ sikit. Saya pergi dulu.” Rahman meninggalkannya dengan satu pertanyaan.

‘Panas’? kelas tu tiada kipas ke. Mungkin rosak. Makin kuatlah dia berpeluh nanti.

Dia berdiri didepan pintu kelasnya. Tiada kedengaran sebarang suara pun. Pintu kelas pun tertutup. Dia mengetuk pintu kelas beberapa kali. Tiada yang menyahut. Dia jadi geram. Dia mengetuk pintu lebih kuat.

“Kamu buat apa ni? Kamu tahu kamu mengganggu kelas saya?” tiba-tiba seseorang menyergahnya.

“Err.. saya ketuk pintu kelas ni banyak kali. Tapi tiada orang yang jawab pun.” Ujarnya bodoh.

“Kamu ingat ni tempat apa? Bukalah pintu tu terus, takkan ada orang nak sambut kamu. Kamu tadi buat gangguan saja. Kamu ini pelajar baru ke?”

“A’ah. Saya baru pindah kesini. Betul ke ni kelas lima kejuruteraan awam dua?”

“A’ah, nilah kelasnya. Kelas pening kepala. Masuk kelas kamu, jangan buaat bising lagi.” Ujar wanita yg berumur 30-an, anggarannya saja.

Dia menolak pintu tersebut, matanya terpejam. Debar semakin mencengkam dadanya. Nafas ditarik beberapa kali. Dia melangkah masuk tanpa membuka mata.

“Assalamualaikum, saya Isma Farhan. Saya pelajar baru kelas ini, saya harap kita dapat saling membantu antara satu sama lain,” ucap Isma. Dia lega akhirnya. Namun dia tidak mendengar sebarang suara pun. Matanya dibuka. Kosong.

Dia mencari tempat duduk yang masih kosong. Mujur masih ada lagi tempat untuknya. Beg diletakkan di atas meja. Semua pelajar tiada didalam kelas. Mungkin mereka berada di Makmal barangkali. Isma menyedapkan hati. Seorang lelaki berpakaina pejabat memasuki kelasnya lalu duduk dimeja guru. Isma mengagak lelaki tersebut merupakan salah seorang gurunya. Lelaki tersebut masih lagi muda, tertera namanya di tag yang dipakaimya, AZRI.

“Kamu seorang saja? Yang lain mana?” soalan diajukan padanya.

“Err.. saya tak tahu. Saya baru masuk kelas ni.” Ujarnya tergagap. Peluh mula merenek kedahi. Pantas sapu tangan dikeluarkan.

“Kamu pelajar barukan. Maafkan saya, saya guru kelas kamu. Saya baru habis mesyuarat tadi, tak dapat nak tunjukkan kelas untuk kamu. Saya akan ajar kamu matematik tambahan. Dah bayar yuran?”

“Sudah.”

Kelas menjadi sunyi semula. Cikgu tersebut asyik menulis sesuatu dibukunya. Isma jadi penasaran. Kelasnya ini mempunyai tiga kipas, dan dia berasa selesa dan sejuk. Peluhnya juga berkurangan. Namun, sebentar tadi Rahman memberitahunya kelasnya ini ‘panas’.

“Cikgu, betul ke kelas ni ‘panas’?” dia memberanikan diri untuk bertanya.

Cikgu Azri mengangkat muka. Ditenungnya pelajar baru itu, “Jangan dengar kata orang, kelas ni biasa saja.” Cikgu Azri tersenyum melihat kegelisahan diwajah pelajar itu.

Tiba-tiba kelas menjadi hinggar-binggar. Pelajar lelaki dan perempuan meluru masuk. Dia bagaikan berada di pasar. Semua mula duduk ditempat masing-masing. Seorang lelaki duduk disebelah Isma sambil meletakkan buku didalam begnya. Usai menyimpan, dia mencuit bahu rakan didepan.

“Malam ni jadi tak, nak fly?” tanyanya.

“Mestilah. Aku dah rancang baik punya.” Jawab lelaki tersebut sambil tersenyum jahat, baginya.

Cikgu Azri bangun dari tempat duduknya. Dia menghadiahkan senyuman kepada semua pelajarnya. Pasti semua pelajar peempuan cair dengan senyuman manis guru lelaki tersebut yang iras seperti Aaron Aziz.

“Assalamualaikum semua, kamu lambat 10 minit hari ini.” Ujar cikgu Azri tenang tanpa ada rasa marah sedikitpun.

“Bukan salah kami cikgu, cikgu Hajar tu lepas kami lambat.” Seorang pelajar perempuan bersuara cuba menegakkan diri dari kelambatan mereka.

“Kamu kena denda lagi?” tanya Cikgu Azri.

“A’ah cikgu. Kami kena jalan itik tadi Cuma Khairunnisa je yang tak kena.” Jawab seorang pelajar perempuan yang lain pula.

“Kamu mesti tak buat kerja yang Cikgu Hajar suruhkan. Kamu semua ni tak habis-habis. Tak serik ke kena denda?”

“Kerja yang Cikgu Hajar bagi tu banyak sangat. Cikgu pun tak bagi banyak pun kerja.” Seorang pelajar lelaki yang berambut trojan pula bersuara.

“Saya bagi sikit pun kamu tetap tak buat Fahmi. Baiklah, sebelum kita mulakan kelas saya nak kenalkan pelajar baru kelas ini. Isma bangun dan kenalkan diri kamu pada kelas,” pinta Cikgu Azri sambil melemparkan senyuman padanya.

Dia menolak kerusinya dan bangun. Semua mata memandang kearahnya dengan pelbagai reaksi, ada yang berkerut, ada yang senyum-senyum dan ada yang sukar untuk dijelaskan maksud pandangannya itu.

“Assalamualaikum, nama saya Isma Farhan bin Roslan. Berumur 16 tahun 11 bulan. Hobi saya menonton televisyen dan cita-cita saya pula nak menjadi seorang jurutera yang berjaya.” Suasana yang hening sebentar tadi bertukar menjadi gempita. Semuanya ketawa, ada yang terbahak-bahak, ada yang menutup mulut dan ada yang senyum-senyum saja.isma hairan.

“Macam budak sekolah tadika je kenalkan diri, hahahaha!” lelaki berambut trojan itu ketawa terbahak-bahak.

“Sudah Fahmi, jangan nak ketawakan orang. Setiap orang ada style masing-masing. Kamu tu, bila nak potong rambut trojan tu?” ujar Cikgu Azri menghentikan tawa Fahmi, si rambut trojan.

“Dulu sekolah mana dan kenapa pindah kesini?” tanya seorang perempuan cuba menyiasat latar belakangnya.

“Dulu saya belajar di Sekolah Menengah Teknik Jengka tapi sebab ayah suruh pindah kesini, jadi saya pindahlah. Lagipun saya memang tak suka sekolah dekat sana.” Ujar Isma jujur.

“Kenapa? Kamu kena buli yerk?” tanya perempuan itu lagi.

“Asyik kamu saja yang tanya Izati. Orang lain pun nak tanya juga.” Seorang perempuan bertahi lalat pula bersuara.

“Sebab saya nak belajar dekat Maktab Rendah Sains Mara, saya nak jadi doktor.”

“Habis tu kenapa kamu masuk sekolah teknik?” perempuan itu lagi bertanya.

“Bukan ke tadi kamu kata nak jadi jurutera yang berjaya?” tanya pula perempuan bertahi lalat.

“Sudah-sudah. Kamu ingat ini sesi bersoal jawab ker. Saya dah nak mengajar ni. Isma kamu boleh duduk. Banyak masa lagi kamu boleh tanya dia.” Isma lega kerana Cikgu Azri membidas sebelum dia menjawab pertanyaan demi pertanyaan. Biarlah menjadi rahsia kenapa dia terpaksa memilih sekolah teknik dari MRSM.

Kring, kring! Loceng telah berbunyi menandakan waktu persekolahan telah tamat. Isma menghembus nafas lega. Perjalanan hari ini berjalan agak lancar. Walaupun sesekali dia terpaksa melayan dan mendengar omongan Ikhwan,l elaki bertubuh kecil dan dihiasi sedikit jerawat diwajahnya. Isma duduk bersebelahan dengan ikhwan dan dihadapannya Amir serta Syahrafi. Amir juga seorang yang peramah manakala Syahrafi langsung tidak bercakap dengannya.

“Jom makan! Kita kena cepat, kalau tak kena berebut nanti. Harap-haraplah makanan hari ini sedap.” Ajak Ikhwan sambil membebel sendirian.

Isma hanya mengikut langkah Ikhwan. Bersemangat sungguh lelaki itu untuk mendapat makanan dahulu, tapi sampai sahaja didewan makan wajahnya berubah. Kelihatan deretan manusia telah memenuhi ruangan tempat makan itu.

“Aduh, malasnya nak beratur. Perut aku dah berkeroncong ni,” ujar Ikhwan sambil menggosok-gosok perutnya.

“Aku tak laparlah. Aku nak balik dorm dulu,” ujar Isma lalu meninggalkan Ikhwan yang kelaparan itu.

Dorm F merupakan sebuah bilik sebesar kelasnya sahaja. Mengikut bilangan katil yang ada, seramai 16 orang penghuni yang menginap di dalam bilik tersebut termasuk dia. Isma menuju kearah katil yang bercadarkan kain berwarna kuning. Warna yang paling dia tidak gemari. Namun sudah ditetapkan undang-undang sekolah ini supaya menggunakan cadar warna kuning terang ini. Isma menghempaskan tubuhnya di atas katil. Dia terasa begitu penat sekali. Hari pertama di sekolah baru seringkali menjadi masalah baginya. Dia sebenarnya tidak minat berpindah sekolah tetapi perkara yang tidak disukainya itulah sering menghampirinya. Dia tidak suka bersukan dan dia juga tidak suka pergi berkhemah kemana-mana. Dia lebih suka berseorangan melayan perasaan.

“Kau budak baru pindahkan?” tiba-tiba seseorang menegurnya.

“A’ah. Aku Isma.”

“Oh, aku Ridhuan ketua bilik ni. Panggil Duan je.” Ridhuan berjalan menuju ke locker lalu menukar pakaian seragamnya.

“Kau jurusan apa?” tanya Isma.

“Aku ambik meki.”

“Meki?”

“Kejuruteraan Mekanikal, kat sini orang panggil meki jer. Dah solat? Kalau belum, jom berjemaah sekali dengan aku.”

“Belum, aku ambil wudhuk dulu.” Ridhuan menganggukkan kepalanya.

Usai solat zohor, biliknya sudah dipenuhi dengan pelbagai bentuk dan rupa manusia. Isma terus bergerak ke katilnya. Matanya memandang satu persatu wajah teman-teman sebiliknya. Syahrafi sedang menyalin pakaian di satu sudut. Isma berasa lega kerana rakan sekelasnya juga berada dalam satu bilik dengannya.

“Budak baru, kau nama apa?” seseorang lelaki kurus dan berkulit gelap menghampirinya.

“Aku Isma.”

“Aku Erwan. Budak awam?”

“A’ah.”

“Aku dah kata dah dia ni budak awam, korang tak percaya. Aku budak meki.” Erwan bersalam dengan Isma. Diikuti dengan ahli bilik yang lain. Semuanya peramah asyik bercerita itu ini. Isma sekadar mengangguk. Disatu sudut di dalam bilik itu, Syahrafi duduk sendirian membaca sebuah buku. Dia langsung tidak mengendahkan Isma.

Ikhwan menepuk bahu Isma yang asyik membaca buku teks sejarah tingkatan lima. Ikhwan tersengih apabila Isma memandangya. Isma hanya sekadar memandang tanpa sebarang reaksi marah atau suka.

“Asyik betul kau baca buku sejarah nikan. Aku baca seminit pun dah menguap sepuluh kali. Macam mana dorm kau? Okey?”

“Okay.”

“Sebenarnya aku datang sini nak beritahu kau sesuatu tentang sekolah ni.” Ujar Ikhwan seakan berbisik.

“Tentang apa?”

“Sekolah ni bukan macam sekolah biasa dekat Malaysian ni. Sekolah ni lain dari yang lain.”

“Apa yang lainya?” isma jadi berminat.

“Kau pernah tengok filem Crows Zero? Cerita Jepun tu.”

“Tengok. Apa kena mengenanya dengan sekolah ni?”

“Sekolah kita ni sama macam dalam filem tu. Dalam filem tu, Pelajar tahun ketiga bergaduh dengan pelajar tahun pertama dengan keduakan tapi..” ikhwan berhenti seketika.

“Tapi apa?” Isma jadi tidak sabar.

“Sekolah ini, budak Awam dengan Mekanikal bergaduh besar.” Sambung Ikhwan.

“Yeke? Aku tengok budak meki bilik aku baik saja.”

“Dia orang tu siapa? Kau tahu siapa ketua budak awam dengan meki?” tanya Ikhwan.

“Manalah aku tahu.”

“Budak Meki ketua dia nama Annaz Harmizul. Orang panggil Annaz je. Muka dia ada parut dekat pipi sebab kena toreh dengan ketua budak Awam.” Ikhwan mendekati Isma lagi. Dia tidak mahu orang lain mendengar perbualannya.

“Siapa ketua budak awam?” Isma benar-benar ingin tahu.

Ikhwan merapatkan bibirnya ketelingan Isma. “Syahrafi!”

Isma ternganga. Ikwan ingin berlalu pergi tapi sempat ditahan Isma terlebih dahulu. “Habis tu budak elektrik dengan pengurusan?”

“Budak elektrik tak nak masuk campur, budak pengurusan pula majoriti perempuan, lelaki boleh bilang pakai jari saja.” Ujar Ikhwan lalu meninggalkan Isma sendirian.

Keadaan sekolah menjadi kucar kacir. Pelajar perempuan ada yang menjerit, ada yang menangis ketakutan. Kelihatan dua buah kumpulan telah mencacatkan sekolah itu. Meja dan kerusi tunggang langgang. Ada yang patah dan hancur. Darah memenuhi setiap inci lantai. Pelajar perempuan saling berpelukan kerana terlalu takut. Pelajar lelaki ada yang saling berpelukan dan ada yang asyik melihat pertembungan dua buah kumpulan yang telah menjahanamkan kawasan sekolah.

“Aku dah kata jangan masuk kawasan aku. Kita sudah buat perjanjian dulu bukan?” ujar lelaki yang berparut di muka.

“Aku tahu. Budak aku tak sengaja termasuk kawasan kau. Dia budak baru.” Ujar lelaki yang bermuka masam itu.

“Aku tak mahu terus-terusan begini. Aku Cuma nak budak kau untuk langsaikan semuanya. Serahkan budak itu!” ujar lelaki berparut itu lagi.

Lelaki bermuka masam itu menarik seorang lelaki berambut pendek ala tentera. Lelaki itu adalah Isma. Isma menggigil ketakutan.

“Kau nak budak ni?” tanya lelaki bermuka masam itu.

“Serahkan dia pada aku dan perbalahan kita selesai!”

“Kalau kau nak ambilah.” Lelaki bermuka masam itu melepaskan tangan isma. Isma kaget.

“Syahrafi, kau nak serahkan Isma pada Annaz?” tanya seorang lelaki bertubuh kecil.

“Dia boleh ambil kalau dia lepas lawan dengan kita. Serang!” Syahrafi melaungkan suaranya dengan kuat. Bergema satu sekolah dengan laungan yang kuat itu.

Setiap kumpulan masing-masing memegang sebuah kerusi. Pergaduhan bermula apabila kumpulan pelajar Awam menyerang kumpulan pelajar mekanikal. Kerusi digunakan sebagai senjata utama. Mereka saling memukul menggunakan kerusi. Ikhwan menghempas kerusi ketubuh salah seorang pelajar mekanikal dan kerusinya patah manakala pelajar tersebut tumbang. Ikhwan mengambil kayu kerusi yang patah lalu memukul muka pelajar mekanikal yang lain. Bersembur darah dan gigi dari mulut pelajar tersebut. Ikhwan tersengih lalu mencari mangsa lain.

Syahrafi memukul, menumbuk dan menyepak satu persatu budak mekanikal tanpa rasa belas kasihan. Seragam putihnya telah bertukar warna, dia bermandikan darah hanyir pelajar-pelkajar mekanikal. Belum sempat mereka ingin memukulnya, dia terlebih dahulu menumbuk muka mereka sehingga gigi mereka bertaburan jatuh kelantai. Cat bangunan yang berwarna putih telah hilang kesuciannya.

Annaz mencengkik leher pelajar Awam lalu menghumbannya ke tingkat bawah. Tubuhnya yang agak besar itu memudahkannya mengangkat satu persatu budak awam lalu dicampaknya ketingkat bawah. Konconya, saufi pula melibas pelajar awam menggunakan kerusi sehingga terpelanting. Setelah pelajar awam tersungkur dilantai, dia memukul dengan kerusi bertalu-talu sehingga pecah muka pelajar tersebut.

Isma ketakutan. Dia tersepit, pelajar mekanikal mengejarnya dan hampir mendapatkannya. Mujur Fahmi pantas menghalang lalu menghadiahkan libasan penyapu ke tempat sulit pelajar mekanikal.

“Kau jangan risau, aku akan cover kau! Tunduk!” belum sempat Isma berkata apa-apa. Fahmi menghunus menyapu tepat ke mulut seorang pelajar yang cuba memukulnya dengan kerusi. Pelajar itu menjerit kesakitan sambil melompat-lompat.

“Terima kasih selamatkan aku.” Ujar Isma cemas.

“Sama-sama. Kitakan kawan.” Ujar Fahmi lalu menendang perut pelajar mekanikal yang cuba menyerang mereka. Fahmi menarik tangan Isma lalu berlari turun ke tingkat bawah. Tiba-tiba datang seorang pelajar mekanikal membaling kerusi ke arah mereka. Fahmi menolak Isma ke tepi lalu kerusi tersebut terkena padanya. Fahmi terpelanting. “Isma, lari!”

Isma kaget lalu melarikan diri. Pelajar mekanikal mengejarnya dan dia tersepak kerusi lalu jatuh tersungkur. Pelajar tersebut mengambil lebihan kayu kerusi yang patah lalu cuba melibas ke arahnya namun seseorang telah menyepak perut pelajar tersebut lalu menghentak kepalanya ke dinding bangunan. Bersembur darah keluar dari mulut, hidung dan matanya.

“Cepat bangun, ikut aku!” Syahrafi menarik tangan Isma lalu dibawanya ke tingkat tiga. Annaz dan konconya, saufi mengejar dari belakang. Syahrafi memegang tangan Isma kuat dan mempercepatkan langkahnya. Isma terus berlari bersama dengan Syahrafi.

“Kita terjun! Kau boleh?” tanya Syahrafi mendapatkan kepastian.

“Boleh!” jawab Isma tanpa berfikir panjang. Syahrafi mengangkat Isma naik keatas besi koridor. Setelah itu, Isma pula menariknya naik ke atas.

“Kau dah sedia? Aku bilang sampai tiga!” ujar Syahrafi. Isma mengangguk laju-laju.

“Satu, duaa... tiga...” Mereka terjun dari tingkat tiga.

Isma menjerit, “Arrghh!”

“Woi, siapa menjerit pagi-pagi buta ni?” tiba-tiba kedengaran suara orang marah-marah.

Isma mengurut-ngurut dadanya yang kecemasan itu. Rupa-rupanya dia bermimpi. Dia berasa mimpinya seakan benar-benar berlaku. Badannya berpeluh-peluh sehingga tilamnya basah. Isma beristighfar beberapa kali.

“Kau okay tak?” tanya Syahrafi yang sudah berada ditepi katilnya.

“Hah? Aku okay, okay takde apa-apa.” Ujar Isma tergagap-gagap.

“Kalau okay, takkanlah kau menjerit tiba-tiba?” ujar Syahrafi yang sudah bergerak ke lockernya. Ahli biliknya yang lain masih lagi belum sedar dari lena tambahan ada pula yang terkena gangguan mimpi ngerinya itu.

“Aku mimpi tadi. Betul ke kau ni gangster?” tanya Isma yang masih belum menghapuskan jejak-jejak mimpinya.

“Gangster? Siapa cakap?”

“Ikhwan!” ujar Isma sungguh-sungguh.

“Jangan mudah percaya cakap orang. Sudahlah, pergi mandi sekarang kalau kau taknak kena sebat nanti.” Ujar Syahrafi lalu keluar dari bilik bersama-sama dengan peralatan mandinya.

“Sebat?” Isma menggaru-garukan kepalanya.

Semua pelajar lelaki berkumpul dihadapan bilik warden. Seorang guru lelaki berambut pendek ala tentera sedang duduk diatas kerusi plastik sambil melihat-lihat buku sebesar saiz A4.

“Kau turun solat subuh dekat surau tadi?” tanya Ridhuan pada Isma.

“Turun.”

“Kenapa kau tak kejutkan aku?” ujar Ridhuan yang seperti orang membuat kesalahan yang besar.

“Aku dah kejut tapi kau tidur mati.”

Warden tersebut masuk semula kerumahnya, selang beberapa saat dia keluar semula dengan sebatang rotan yang tebalnya dalam dua sentimeter. Dia meraut-raut rotan tersebut dengan tangannya sambil memandang semua pelajar aspura.

“Saya tak mahu check seorang-seorang, saya mahu kamu mengaku. Jujur. Boleh?” ujar warden tersebut sambil matanya memandang seorang demi seorang mata pelajar yang berada dihadapannya.

“Baik, siapa yang tidak turun subuh dekat surau pagi tadi? Saya nak kamu keluar dengan sukarela, kalau saya yang panggil dua kali ganda saya bagi kamua. Nak tak?”

“Tak nak.” Serentak semua pelajar aspura menjawab.

“Apa lagi? Keluar sekarang!”

Berduyun-duyun pelajar lelaki keluar dari barisan masing-masing. Hampir separuh daripada pelajar Aspura keluar ke hadapan.

“Macam biasalah, tonggeng!”

Pap! Pap! Pap! Satu persatu punggung teruna dilibas oleh warden tersebut tanpa rasa penat dan setiap kali itu terdengar jeritan suara yang mengaduh kesakitan. Muka Ridhuan bertukar merah setelah disebat. Isma memandang penuh simpati. Dia bersyukur kerana dia tidak merasai azab kesakitan dilibas rotan buluh yang begitu mantap sekali. Dia tidak boleh bayangkan apabila rotan tersebut hinggap di punggung montok dan gebunya itu.

“Okay, lain kali bila saya suruh turun kamu turun. Faham?” kata Warden tersebut lalu memanggil seorang pengawas. Rahman, ketua pengawas yang telah membantu Isma menunjukkan kelasnya. Lelaki tersebut ada aura tersendiri, memang layak dilantik menjadi Ketua Pelajar.

“Terakhir sekali, dorm yang paling kotor. Saya akan sebat kamu dua kali.” Semua pelajar menelan liur masing-masing. Dada masing-masing berdegup kencang seperti baru habis marathon.

“Dorm H.” Semua melepaskan nafas lega tetapi bukan ahli Dorm H. Rahman mendekati warden tersebut tiba-tiba.

“Bukan Dorm H tapi Dorm lain..” giliran ahli dorm H pula melepaskan kelegaan mereka. Jantung mereka yang lain pula mula berdetak kencang seperti mahu keluar dari sarang masing-masing.

“Dorm F!” bagaikan terkena renjatan elektrik, semua ahli dorm F terkaku termasuk Isma.

“Keluar sekarang!”

Isma menggosok-gosok punggungnya yang sakit itu. Dua kali sekaligus dia disebat tanpa rasa belas. Dia pasti ada kesan yang terukir di kulit cokelatnya itu. Dia mengerling Syahrafi yang tenang seperti tidak berasa apa-apa pun. Lelaki ini bagaikan tidak punya perasaan apa-apa pun. Isma teringat kepada Ridhuan yang disebat paling banyak. Satu sebatan kerana tidak turun ke surau dan tiga sebatan kerana dia ketua bilik dorm f.

“Macam mana? Best tak kena pukulan sayang Cikgu Yusoff tadi?” tanya Ikhwan sambil tersengih-sengih macam kerang busuk.

“Pukulan sayang apanya, pukulan maut adalah.” Jawab Isma geram.

“Hai, baru dua hari dekat sini dah bermanja-manja dengan Cikgu Yusoff?” ujar Syahirah tiba-tiba.

“Sibuklah kau Syira, macamlah aku tak tahu kau kena sebat dengan Cikgu Suria sebab fly pergi bandar semalam.” Syahirah mencebik.

“Fly tu apa?” tanya Isma ingin tahu.

“Kau tak tahu ke?” tanya ikhwan pula. Isma menggeleng.

“Fly tu macam keluar dari kawasan sekolah tanpa kebenaran.” Jelas Ikhwan.

“Bukannya ada security guard ke jaga?” tanya Isma lagi.

“Budak lelaki panjat pagar belakang ni bila nak fly. Kita orang tak fly siang-siang macam budak perempuan ni. Dia orang fly tiru tanda tangan warden, tu yang keluar ikut pintu depan.” Terang ikhwan lanjut.

“Ooo.. sekolah aku dulu takde pula macam tu.”

“Baiknya budak sekolah kau, aku masa tadika lagi dah fly. Kau nak cuba? Boleh aku belanja kau makan nasi lemak special dari thailand.” Ajak Ikhwan.

“Jangan! Tak payah ajar dia buat perkara-perkara tak elok.” Syahrafi bersuara. Ikhwan diam.

“Hah, Cikgu Amirah tak masuk lagi. Apa kata kalau kita kenalkan seorang demi seorang budak kelas ni dekat Isma. Diakan tak kenal lagi the real KA 2.” Cadang Amir.

“Okay gaktu. Biar aku tolong kenalkan.” Ikhwan sukarela. Dia memang gemar melalakukan perkara sebegini.

“First dan foremost, yang hujung dekat pintu tu nama dia Dalilah. Budak perempuan paling tinggi dalam kelas ni dan captain netball sekolah. Sebelah dia nama Khairunnisa, kawan rapat dalilah. Dia tu pendiam tapi cerdik serta payah nak tengok dia senyum. Tak macam Dalilah tak suruh senyum pun dia senyum juga. Seterusnya, belakang Dalilah tu Syahir aka taiko. Muka dia ganas dan dia ni ada kuasa super natural.”

“Super natural?” tanya Isma hairan.

“Dia boleh tengok hantu.”

“Biar betik? Eh, biar betul?”

“Betullah aku tak tipu. Sebelah Syahir namanya Aliff, lelaki jambu dekat kelas ni. Apa yang penting bagi dia adalah rambut. Kau tengok bawah meja dia ada minyak rambut gatsby warna orenkan?” Isma mengangguk-angguk.

“Next, belakang Aliff adalah Syira aka mulut berbisa. Benda yang keluar dari mulut dia mesti berbisalah, macam kena patuk dengan ular, lagi satu dia ni memang kaki buat kes memang memburukkan kelas kita.”

“Eleh, cakap dekat aku. Kau dengan aku dua kali lima saja.” Sampuk Syahirah.

“Sebelah dia pula Baizura, dia ni straight sangat. Itu tak boleh, ini tak boleh. Bagi dia everyting must perfect! Leceh dan cerewet. Belakang Baizura pula namanya Fendy. Dia ni terlalu lurus.”

“Cakap jelah lurus bendul” sampuk Amir.

“Korang ada sebut nama aku ke?” tanya Fendy.

“Arrgh! Wargh! Berambus! Jangan dekat dengan aku! Pergi matilah! Argh!” tiba-tiba kedengaran orang menjerit dan menyumpah seranah.

“Kena lagilah tu.” Ujar Izati selamba.

“Siapa?” tanya Isma.

“Budak kelas sebelah, nama dia Hidayah. Dia selalu kena histeria ni. Orang kata dia dapat saka dari nenek dia. Betul ke tidak aku tak tahu tapi Kawan aku Asyraff cakap, setiap kali dia kena histeria bila dia tak siap buat kerja sekolah. Entahlah aku pun malas nak ambil tahu perkara-perkara tahyul macam ni. Mengarut je semua tu, aku tak takutlah benda-benda macam tu.” Ujar Ikhwan selamba.

“Ikhwan, aku nampak sesuatu dekat belakang kau!” ujar Syahir tiba-tiba.

“Eh, yeke? Syahir tolonglah cakap dengan dia jangan kacau aku. Aku tak kacau pun dia,” ujar Ikhwan terketar-ketar. Badan dia menggigil-gigil. Dia hampir hendak menangis.

“Tadi kau kata tak takut, tengok tu dia nak peluk kaulah. Aku rasa dia nak minta couple dengan kau. Betul tak Syahir?” ujar Aliff cuba menakutkan Ikhwan.

“Syahir, cakaplah dengan dia. Jangan ganggu aku!” ikhwan memeluk Isma erat. Dia sebenarnya memang seorang yang agak lemah semangat.

“Dahlah Alif, Syahir karang tak pasal-pasal terkencing pula dia dalam kelas ni nanti. Siapa nak basuh?” ujar Amir.

“Woi, Cikgu Amirah dah datang!” jerit Fadhlan lalu berlari ketempat duduknya.

“Alamak! Cikgu monster dah datang.”

“Monster? Apa pula kali ini?”


4 comments:

cik nurul said...

cerpen yg sgt best, bile na smbong dgn episod 2? tak sbr:)

intanurulfateha (◡‿◡✿) said...

.wahh rajinnye! =)

.ni pengalaman sbnr ke reka neh?

mR.sYaH said...

nurul:thanks..episod 2 dalam proses... mgkn mggu depan..

intan: bosan cuti2 ni.. campur2.. ada sbnr ada reka..

Hanie_Dew said...

wahai MR.SYAH. cerpen ko menarik.sangat best.

tp aku tak dapat nak baca on9. sakit mata bertentang mata denga npc ni. aku akan print and baca. aku komen len kali ye pasal cerpen ni.