Kawan-Kawan Si Kacak

klik sini

Sunday, October 11, 2009

PERMATA YANG DICARI

Assalamualaikum semua..
hehehe...
Dok sibuk-sibuk aku study..
Buat mcm aktiviti..
Td ada aktiviti CEFAD untuk
budak civil engineering..
gamat gaklah..
aku mcm biasa..
senyum.. hhaah..
kadang2 bila dok sorang2..
aku pernah terpikir..
siapakah permata yang akan menjadi suri dihatiku..
yelah pikir masa depan.
pikir punya pikir..
dapatlah idea utk aku buat cerpen ni..
mungkin byk kelemahan.. tp korang enjoy je yerk..

*******

Panggilan dari emak sebentar tadi merunsingkan fikiranku. Permintaan emak buat aku jadi buntu. Dia mahu aku cari calon isteri dalam masa terdekat ini. Kenapa emak perlu terburu-buru? Aku masih muda. Baru mahu mencecah umur 26 tahun. Masa ini aku perlu gigih dalam bekerja. Jika aku berkahwin sekarang aku perlu ada tanggungjawab. Bukan senang nak memikul tanggungjawab ini. Aku perlu merubah diri aku dahulu. Menjadi insan yang bertaqwa dan beriman. Mencari isteri sekarang bukan senang sekarang. Kebanyakannya lebih mencintai dunia semata-mata. Akhirat entah kemana. Aku teringat kata-kata Ustaz Abdullah dahulu, “Perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik.” Adakah aku cukup baik untuk mendapatkan seorang perempuan yang baik akhlaknya?
“Aku rasa baik kau ikut kata-kata emak kau tu. Kau pun bukan muda lagi. Aku pun dah kahwin sekarang. Kau bila lagi? Nak jadi antertu?” kata Khairul meluahkan pendapatnya.
“Huh, baru kahwin dua bulan pun kecohlah. Aku bukan apa, aku rasa belum masa lagi untuk aku mendirikan rumahtangga.” Luahku pada sahabat baikku ini.
“Aku tahu. Kau takut nak pikul tanggungjawabkan? Memang bukan senang nak jadi seorang suami. Kita sebagai ketua keluarga perlu membimbing isteri dan anak-anak kita. Jika kita terpesong, kemungkinan besar mereka juga akan mengikut kita.” Sememangnya tekaan Khairul itu tepat sama sekali. Aku memang risau tentang itu. Mampukah aku menjadi suami dan ayah yang baik untuk mereka? Aku buntu sekarang.
“Memang betul cakap kau tu. Tapi bukan tu saja, zaman sekarang nak cari permata yang betul-betul bersinar memang susah. Semuanya malap. Mudah ternoda dengan dunia. Aku risau jika aku tersilap memilih.” Luahku lagi.
“Kau kena berani ambil risiko Fareez. Jika telah ditakdirkan kau dijodohkan dengan perempuan yang tidak elok akhlaknya. Kau kena terima dan tugas kau untuk mebetulkan jalannya,” nasihat Khairul. Sebagai kaunseling di sekolah, Khairul memang bijak bermain kata.
“Aku takut aku tak mampu Rul!” Aku meluahkan kegusaran hatiku.
“Jangan jadi terlalu lemah Fareez. Kau kena jadi seorang lelaki yang kuat. Kau kena yakin pada diri sendiri. Keupayaan diri kau dan paling penting kau pintalah dariNya. Jangan sekali-kali kau lupa padaNya.”

Aku pulang ke kampung setelah emak menelefon supaya aku pulang segera. Bekerja sebagai guru di sekolah menengah memberikan aku masa lapang pada hari minggu. Jadi kugunakan masa tersebut untuk pulang ke kampung. Ada hal penting yang emak ingin bincangkan denganku. Harap-harap bukan tentang perkahwinan akulah.
“Mak, sudah ada calon untuk Reez. Orang kampung ni juga tapi bekerja dekat dengan tempat Reez duduk sekarang. Mak harap sangat Reez setuju. Reezlah satu-satunya anak mak. Teringin benar hati ini nak menimang cucu sebelum mata tua ini tertutup rapat,” kata Mak dan tanpa semena-menanya emak menitiskan air matanya. Sudah lama aku tidak lihat emak menangis. Kali terakhir semasa pemergian ayah, sepulut tahun yang lalu. Sanggupkah aku membiarkan permintaan emak ini? Tegarkah seorang anak membuat emaknya bersedih? Aku tidak sanggup sama sekali. Dialah nyawaku sekarang.
“Mak, demi kasih dan sayang Reez pada mak. Dengan ikhlas hati menerima pilihan mak.” Akhirnya aku memberi persetujuan walaupun hatiku terasa berat. Pilihan seorang ibu mestilah yang terbaik untuk anaknya. Sesungguhnya aku redha. Aku berharap wanita yang bakal aku kahwini itu adalah permata yang kucari selama ini. Permata yang masih bersinar.
Ya Allah
Jika dia benar untukku
Dekatkanlah hatinya dengan hatiku
Jika dia bukan milikku
Damaikanlah hatiku
Dengan ketentuan-Mu.

“Assalamualaikum, awak Fareez kan?” seorang wanita yg memakai tudung labuh menegurku semasa aku sedang asyik mencari buku Don’t be Sad.
“Waalaikumussalam. Ya, saya Fareez. Saudari ini siapa?” Giliranku pula bertanya.
“Awak dah tak kenal saya lagi ker? Saya Nik Mardhiah, satu kelas dgn awak dulu masa kita sama-sama ambik diploma civil engineering kat UiTM Pahang dulu.”
“Oh, Nik. Maafkan saya sebab dah lima tahun berlalu. Lagipun awak pendiam sangat dulu. Nak dengar suara pun payah,” ingatanku kembali pulih terhadap wanita ini. Sejak aku mula-mula bertemunya hati telah tertarik namun aku hanya mendiamkan diri. Aku sedar bahawa aku sememangnya tidak layak untuk gadis sebaiknya.
“Awak cari buku apa kat sini?” Tanya Nik ramah. Peramah pula Nik sekarang. Mungkin mengikut peredaran masa. Manusia akan sentiasa berubah tapi biarlah perubahan kearah kebaikan bukannya kearah keburukan.
Aku menunjukkan buku ditanganku. Dia hanya tersenyum. “Kenapa? Awak sedang mengalami kekecewaan ke?” Giliranku pula tersenyum. Ku biarkan saja pertanyaannya itu.
“Awak pula cari buku apa? Mencari Suami Mithali?” Aku bertanya.
“Saya cari buku terbaru karya Hilal Asyraff, penulis muda yang semakin meningkat naik. Karya-karyanya bagus sekali banyak memberi pengajaran dan panduan buat saya. Hah, sekarang kerja apa? Engineer?”
“Tak. Saya sekarang jadi cikgu dekat Sekolah Teknik. Saya ajar subjek kejuruteraan awam. Awak?”
“Saya sekarang jadi pensyarah kat UiTM Pahang. Dah ada orang rumah?”
“Belum lagi. Awak?”
“Belum jugak. Oh, asyik sangat kita berbual sampai saya terlupa lepas ni saya ada kelas. Insyaallah, lain kali kita ketemu lagi. Saya pergi dulu Fareez.” Nik melangkah pergi keluar dari buku Ar- Raudhah sambil aku memerhati langkahnya.

Sebulan lagi aku akan dinikahkan dengan wanita pilihan emak. Selepas selesai acara merisik semalam, keputusan telah diambil dan kami akan diikatkan sebagai suami isteri dalam beberapa bulan lagi. Meskipun begitu, aku tidak pernah melihat wanita itu. Bagaimanakah rupanya, tutur katanya, gayanya dan bermacam lagi. Namun kupendamkan saja kehendak hati kerana kutahu pilihan emak adalah yang terbaik. Hati aku telah redha dengan semua ketentuanNya.
“Macam mana perasaan kau sekarang? Kau dah jadi suami orang, kau masih takut? Tenang Fareez, malam ini adalah malam pertama kau hidup sebagai suami kepada isteri kau. Jangan bertindak terburu-buru nanti jadi haru. Aku tahu kau faham maksud akukan.” Kata Khairul cuba memberi nasihat padaku. Debar didada ini hanya Allah sahaja yang tahu. aku memandang wajah Khairul untuk cuba mendapat kepastian darinya. Khairul faham dengan pandanganku lantas menganggukkan kepalanya. Aku tersenyum lega.

Aku mengetuk pintu bilik lalu masuk kedalam. Cahaya lampu kalimantan yang terang itu menyimbah kedalam kamar baruku itu. Seorang wanita yang masih berpakaian baju pengantin sedang menghadap tingkap bilik, dialah isteriku kini. Wajahnya manis, kulitnya putih bersih tapi aku tahu hatinya tidak gembira. Aku memanggil namanya, “Qaseh, Qaseh Amira.”
Dia berpaling ke arahku. Jelas terpancar riak tidak senang diwajahnya. Beginikah caranya dia menyambut kedatangan suaminya? Aku beristighfar dalam hati.
“Kita perlu buat perjanjian sekarang juga!” kasar suaranya kedengaran. Tiada secebis senyuman pun dibibir mungilnya.
“Perjanjian apa? Saya tak faham maksud awak.” Tanyaku dilanda kehairanan yang amat.
“Perkahwinan kita. Awak tahu kita saling tidak mengenali apatah lagi untuk mencintai. Saya rasa jalan terbaik adalah buat satu perjanjian, maksud saya satu kontrak untuk perkahwinan ini. Saya dah sediakan kontrak, awak just tanda tangan.” Amira menghulurkan kontrak tersebut padaku dan aku mengambilnya.
“Dalam kontrak itu ada tertulis yang bahawasanya kita berkahwin hanya selama tiga bulan dan selepas itu kita akan membawa haluan masing-masing.”
“Haluan masing-masing? Maksudnya cerai?” tanyaku kebingungan.
“A’ah. Kita cerai. Ada bantahan? Saya rasa awak pun setuju dengan kontrak ini. Kita tak mungkin hidup bersama.”
“Kenapa tidak?”
“Yalah kita tidak saling mencintai antara satu sama lain. Orang bodoh saja yang akan berkahwin tanpa rasa cinta,” hujahnya.
“Cinta boleh dipupuk selepas berkahwin.”
“Kenapa dengan awak ni? Tanda tangan sajalah, dah lewat dah ni.”
“Saya cuma ada satu soalan untuk awak, kenapa awak tak boleh terima saya sebagai suami awak?”
“Awak nak tahu sebab apa? Saya cintakan orang lain. Puas? Cepatlah tanda tangan kontrak tu.”
“Hmm.. nantilah. Saya penat sekarang, saya nak mandi, solat isyak dan tidur. Kontrak tu bila-bila pun boleh tanda tangan kan. Awak dah solat isyak belum? Kalau belum pergi ambik wudhuk dulu,” aku terus mengambil tuala dan masuk ke dalam bilik air. Sempat aku mendengar dia merengus geram terhadapku. Nampaknya aku beroleh ujian dariNya.

Cutiku sudah habis dan aku mula masuk kerja hari ini. Seminggu berada di rumah mertua, aku dilayan baik oleh keluarga mertuaku tetapi bukan isteriku. Setiap hari dia akan meminta aku menanda tangani kontrak tersebut. Namun aku buat-buat tidak endah. Setiap kali itu juga aku melihat dia bermasam muka dihadapanku. Tetapi didepan mertuaku, mukanya manis sekali denganku.
“Assalamualaikum pengantin baru, apsal keruh saja muka pagi-pagi lagi. Tak cukup ke cuti dua minggu. Nak tambah lagi?” entah dari mana Khairul datang mengusikku.
“Waalaikumussalam, kau dari mana ni?” tanyaku.
“Lah akukan kerja kat sini. Mestilah aku ada kat sini.”
“Masalahnya wahai sahabatku, pejabat kau bukan kat sini tapi nun jauh disana.”
“Aku datang nak jumpa kaulah. Kata sahabat. Kau macam mana? Gembira dengan isteri kau? Tak takut dah?” Khairul menyerang aku dgn pelbagai soalan.
“Janganlah tembak aku banyak sangat. Sebutir-butir lah. Tak sempat-sempat dia ni.”
“Yelah yelah. Kau dah boleh pikul tanggungjawab kau sekarang?” soalan cepu mas dari sahabat baikku.
“Aku rasa aku diberi ujian yg besar. Ketakutan aku selama ini memang menjelma.”
“Maksud kau? Dia dah tak suci lagi ker?” Tanya Khairul ingin tahu.
“Astaghfirullahalazim kau ni, biar aku habis cakap dulu. Sabarlah sikit. Sabar itu separuh dari iman. Mana hilangnya keimanan kau ni?”
“Yelah kau ni, sempat lagi nak bagi tazkirah kat aku. Kenapa dengan dia?” Khairul merubah intonasinya menjadi lebih tenang. Aku pun jadi tenang. Aku menceritakan segalanya pada Khairul. Bukan niat hati nak buka pekung di dada. Tapi khairul orang yang diharapkan untuk membantu.

Sudah sebulan aku dan Amira menjadi suami isteri tapi lagaknya diluar saja bukan didalamnya. Aku baru pulang dari sekolah setelah habis melatih pelajarku dalam sukan ragbi. Minggu depan ada tournament antara sekolah-sekolah teknik. Siapa tidak kenal Sekolah Menengah Teknik Kuantan yang gah dalam sukan lasak itu. Sesungguhnya aku berasa teramat penat. Ku kerling jam dinding sudah pukul 5.30 petang. Aku ingin mandi dan solat asar dan bersiap ke Masjid Besar Kuantan untuk menunaikan solat Maghrib dan mendengan ceramah yang akan disampaikan oleh Ustaz Badrulhisham.
“Dah balik pun awak rupanya. Cepatlah tanda tangan kontrak ni.”
“Awak dah solat asar?” tanyaku.
“Kenapa awak suka tukar topik terutamanya bila saya suruh awak tanda tangan kontrak ni?” tanyanya marah. Aku hanya mampu bersabar.
“Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk membimbing awak, jadi jika awak tak solat lagi baik awak pergi solat dulu. Mana lebih penting, solat ke kontrak tu?”
“Memanglah solat tu penting tapi kontrak ni pun penting jugak!” Jawabnya geram.
“Kontrak tu boleh buat awak masuk syurga ke? Sudahlah saya nak mandi, kalau awak nak berjemaah dengan saya tunggu kat bilik solat.” Aku meninggalkan Amira yang masih erat menggenggam kontraknya itu.

Aku pergi kemasjid seorang diri. Amira tidak mengikutku kerana ada hal penting katanya. Aku tidak mahu memaksanya. Biarlah aku menggunakan caranya yang lembut. Perlahan-lahan.
“Assalamualaikum Fareez, ketemu lagi kita nampaknya.” Nik datang menegurku selepas aku keluar dari kereta.
“Waalaikumussalam Nik, a’ahlah jodoh kita kot dapat jumpa.”
“Jodoh? Banyaklah awak. Macam mana orang rumah awak? Sihat? Dia tak datang sekali ke?” soalan Nik menujah telingaku.
“Amira? Hmm.. dia sihat walafiat. Dia tak dapat datang sebab ada hal malam ni. Baru malam ni saya nampak awak?”
“Oh, selalunya saya solat dekat Masjid Taqwa dekat Sg. Isap tu tapi hari inikan Ustaz Badrulhisham nak sampaikan ceramah. Tu yang saya datang kat sini. Takpelah awak, saya masuk dulu waktu pun dah nak masuk. Assalamualaikum,” ucap Nik dan berjalan masuk kedalam masjid.
“Waalaikumussalam.” Sejuk hatiku melihat tingkah Nik. Wanita itu beza sekali dengan isteriku. Selagi aku tidak suruh dia solat selagi itulah dia akan melengah-lengahkan solatnya. Menjejak masjid? Aku tak tahulah bila hatinya akan terbuka. Namun sebagai suami aku haruslah membimbingnya kejalan yang benar. Insyaallah.

Hari minggu begini aku tidak punya perasaan untuk kemana-mana. Masa inilah aku ingin mendapatkan ketenangan setelah mengalami hiruk-pikuk di sekolah. Aku mengambil buku terasing karya Hilal Asyraf yang baru ku beli semalam. Masih aku teringat kata-kata Nik dulu buku tulisan pengarang ini bagus dan banyak pengajaran. Aku mula membacanya.
“Bila awak nak tanda tangan kontrak ni? Dah nak kering air liur saya cakap dengan awak ni.” Tiba-tiba Amira datang menganggu konsentrasiku untuk membaca.
“Amira, tolong buatkan saya air kopi? Saya taknak manis sangat.” Ujarku tanpa mempedulikan kehendaknya.
“Boleh tapi ada satu syarat?”
“Dengan suami pun main syarat-syarat jugak ke? Apa syaratnya?”
“Tanda tangan dulu kontrak ni.” Bang. Tepat sasaranku. Susah kuduga syaratnya.
“Maksudnya awak nak ugut suami awaklah ni? Takpelah kalau macam tu saya buat sendiri.” Aku bangun dari kerusi dan ingin menuju ke dapur. Belum sempat aku bangun dia menahanku. “Yelah saya buatkan,” katanya seperti serba salah. Aku tersenyum. Amira bukanlah seorang isteri yang teruk, dia tahu tentang bab agama ini, sebab itu dia tidak pernah meninggalkan solat walaupun selalu melengah-lengahkannya. Arahanku tidak pernah dia ingkari. Sekurang-kurangnya dia ada rasa hormat padaku.
“Nah, air kopinya.” Dia meletakkan air kopi dia atas meja.
“Tiba-tiba saya tak rasa nak minum air kopilah. Saya nak makan Kentucky Fried Chicken pulak. Awak nak ikut saya tak?”
“Ikut awak? Pergi mana?’
“KFC lah sayang.”
“Taknaklah saya. Habis tu air kopi ni? Awak nak membazir yerk?”
“Membujang lagilah saya nampaknya. Tak baik awak tuduh suami awak membazir, air kopi tu untuk awaklah sebab saya tahu awak taknak ikut saya. Jadi awak duduk elok-elok kat rumah minum air kopi yerk.” Aku bangun dan mencapai kunci kereta. Aku dengar dia mengomel padaku. Aku cuma tersenyum. Sampai dipintu rumah aku berhenti dan menoleh kearahnya, “Nak tempah apa-apa tak?” Dia membulatkan matanya padaku dan memalingkan wajahnya ke arah lain.

Aku memarkir keretaku didepan kedai KFC. Dari semalam lagi aku berhajat untuk makan KFC. Tapi bila makan sorang-sorang ni bosan pulak. Tiba-tiba mataku ternampak Nik yang sedang menolak pintu masuk ke KFC. Aku terus mengikutnya.
“Assalamualaikum Nik, makan KFC ker?” tanyaku.
“Waalaikumussalam. A’ah dari semalam lagi teringin nak makan KFC ni.”
“Samalah dengan saya. Kita makan sekalilah, saya belanja.” Cadangku.
“Eh, takpe ke? Isteri awak mana?” Nik masih berkira-kira.
“Takpe, bukan selalu dapat belanja kawan kan. Isteri saya tak makan KFC ni.” Nik berasa lega dan bersetuju makan bersamaku. Banyak yang kami ceritakan terutamanya semasa di UiTm Pahang. Aku juga telah membongkarkan rahsiaku padanya. Rahsia semasa Family day Civil Engineering, CEFAD. Semasa orang asyik bermain lempar tepung, telur dan air, aku dan khairul telah mencipta satu lagi bahan yang lagi menarik. Aku campur tepung, sirap dan telur pastu kacau sehingga sebati. Niat hati nak baling kat kawanku Asyraff tapi terkena NIk. Habis tudung NIk yang labuh tu, sudahlah warna putih. Aku dan Khairul lepas tangan dan menuduh orang lain. Jahatnya aku masa tu. Tapi semua itu dulu…
“Awak tahu tak saya buang tudung tu sebab memang dah tak boleh hilang warna, bau dan rasa.” Ujar Nik.
“Saya minta maaf yerk. Kesian Firul kena tuduh. Tulah siapa suruh dia duduk dekat dengan awak,” aku ketawa dan Nik juga ketawa tapi perlahan saja sambil menutup mulut. Sungguh bersopan sekali. Aku tidak pernah melihat isteriku ketawa. Adakah dia akan ketawa seperti Nik? Entah aku pun tak tahu. selesai sahaja makan, kami keluar dari KFC dan Nik meminta diri. Aku pun terus pulang kerumah dan kubelikan sedikit untuk Amira. Mana tahu dia mengidam jugak macam aku.

Aku mematikan enjin kereta dan masuk kedalam rumah. Aku lihat Amira berdiri menghadap tingkap rumah. ‘Isteri aku ni memang minat tingkap ke?’ujarku dalam hati.
“Saya ada beli KFC untuk awak. Makanlah, awak takkan kenyang kalau minum air kopi je.” Kataku untuk mengusiknya. Kadangkala aku suka melihat muka masamnya.
“Nanti saya makan. Jom kita solat zuhur berjemaah,” ajak Amira. Aku tersalah dengar ke? Betul ke Amira isteriku ini. Adakah dia sudah berubah? Ya Allah, Alhamdulillah.
“Awak ternganga apa lagi? Nanti masuk lalat dalam mulut. Saya naik atas dulu,” Amira mendaki anak tangga meninggalkan aku dalam ketidakpercayaan.

Usai solat zuhur, aku turun keruang tamu untuk membaca balik buku Terasing tadi. Amira menuruni anak tangga menuju kedapur. Aku terus menyambung pembacaanku. Jalan ceritanya sungguh menarik perhatianku sehingga aku tidak sabar untuk tahu kesudahannya. Amira datang dengan membawa secawan kopi.
“Minumlah air ni.” Amira menghulurkan air itu kepadaku. Aku mengambil air itu dan meneguknya. Betapa sejuknya hatiku melihat tingkah Amira yang sudah berubah walaupun bukan 360 darjah.
“Saya rasa kita perlu berbincang, sekarang!” kata Amira tegas sekali bunyinya.
“Bincang pasal apa? Kontrak?” dugaku.
“Maybe tapi ada yang lagi penting.”
“Apa dia?” tiba-tiba aku rasa berdebar.
“Sebenarnya saya tahu yang awak menyukai wanita lain bukan? Saya dah nampak segalanya depan mata saya. Saya minta maaf sebab tak minta kebenaran awak untuk keluar rumah. Saya nampak awak sungguh mesra dengan dia. Awak ketawa dengan senang hati bukan seperti dirumah ini yang hanya sunyi bila ada saya. Saya tahu saya tak layak jadi isteri awak. Tapi tolonglah bagi peluang untuk saya sekali lagi untuk buktikan saya dapat menandingi wanita itu. Namun jika awak nak juga pada wanita itu, saya rela dimadukan,”kata-kata Amira tadi membuatkan aku terpana. Aku lihat mutiara jernih keluar dari kelopak matanya. Dia menangis. Dia ikhlas dan dia mencintaiku.
Dialah permata yang dicari
Selama ini baru kutemui
Tapi ku tak pasti rencana Ilahi
Apakah dia kan kumiliki
Tidak sekali dinodai nafsu
Akan kubatasi dengan syariat-Mu
Jika dirinya bukan untukku
Redha hatiku dengan ketentuan-Mu

Dari tiga bulan, perkahwinan kukini sudah berumur tiga tahun. Aku sudah mempunyai dua orang anak, kembar. Seorang lelaki dan seorang lagi perempuan. Amira sekarang sedang sarat mengandungkan anak kami yang ketiga. Aku rasa sungguh bahagia dan kurasa keluargaku sudah sempurna.
Sebenarnya Amira tidak pernah mencintai orang lain dia cuma ingin tahu adakah aku lelaki yang baik untuk dia, yang mampu membimbing dia. Kontrak itu cuma gimik semata-mata. Mungkin sebab kami saling tidak mengenali jadi dia takut jika aku ini, ya teruk dan jahat mungkin juga kaki pukul. Siapa tahu hati perempuan bukan? Tentang Nik aku dah terus terang dengan Amira, dia dah salah sangka tentang kami berdua. Nik pun dah kahwin tahun lepas dengan Firul. Aku tumpang bahagia. Akhirnya, aku dah bertemu dengan permata yang aku cari selama ini. Aku bersyukur kepada Allah kerana menciptakan Amira untuk aku dan anak-anak yang comel macam ibu dia.
“Apa yang abang menungkan lagi ni?” Tanya Amira.
“Tak ada apa-apa. Cuma bila fikir balik kelakar juga kisah kita nikan. Macam mana orang dulu kahwin tapi tak kenal?”
“Sebab dia orang bercinta kerana Allah bukan kerana nafsu semata-mata.” Aku tersenyum mendengar kata-katanya. Sesungguhnya aku insan bahagia kini. Tiba-tiba aku merasa Amira mencengkam aku dgn kuat.
“Abang, Mira rasa dah sampai masanya bang!”
Alhamdulillah…..
-TAMAT-

No comments: